IKON : AURAT DAN FESYEN DALAM DIMENSI MAQASID SYARIAH

PENDAHULUAN

            Kita melihat cabaran muslimah begitu rancak pada zaman kini. Antaranya cabaran pemikiran, akhlak, gaya hidup dan menginginkan kehidupan setara dengan kaum Adam juga persaingan di lapangan. Tidak dinafikan, muslimah kita sangat mengkagumkan dalam pelbagai lapangan. Namun begitu, kita melihat masih banyak lagi muslimah yang belum memahami kefahaman agama dan mengenal syariat Islam dengan baik dan menggerakkan di dalam kehidupan mereka. Bahkan, muslimah terus terpengaruh dengan pemikiran Barat yang menjanjikan kebebasan yang telah mengubah pemikiran dan cara hidup secara total.

            Hal yang demikian, banyak perkara yang perlu dilihat dalam diri seorang muslimah dengan cabaran-cabaran tersebut. Fenomena hijabista dan fesyen syarie antara cabaran yang memburu dalam kehidupan seorang muslimah. Islam tidak menghalang umatnya untuk berfesyen malah dituntut untuk berpakaian kemas dan rapi namun biarlah mengikut syarat-syarat yang dianjurkan Islam dengan menutup aurat dengan sempurna.

            Bertepatan dengan firman Allah swt :         
             يٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوٓا ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ ﴿الأعراف:٣١﴾                                           Wahai anak cucu Adam ! Pakailah perhiasan yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (SURAH AL-A’RAF : 31)

            Pakaian adalah satu perhiasan yang dituntut dalam Islam malah ianya dituntut agar manusia dapat menutup aurat dan keaibannya. Al-Quran sendiri menyebut perhiasan itu adalah pakaian yang bagus. Bukan sahaja memakai perhiasan yang bagus dan menutup aurat apabila berhadapan dengan Allah malah berhadapan dengan manusia agar terbinanya komunikasi yang baik tetapi tidak pula berlebih-lebihan. Tidak pula berlebih-lebihan di sini bermaksud, Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan hadnya dalam perkara halal atau haram, iaitu orang-orang yang cenderung ke arah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, akan tetapi Allah menyukai mereka yang meghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram sepertimana yang disuruhNya. 

            Namun begitu, dentuman ideologi Barat dalam perhiasan makin menular di kalangan muslimah sendiri. Lalu bermulalah zaman pemakaian yang pelik-pelik yang bergelar ‘fesyen’. Tambahan pula dengan kejahilan pereka fesyen yang beragama Islam sendiri dan pengenal fesyen, menimbulkan kemafsadan dan kepincangan dalam berhias yang dianjurkan Islam.  Maka hal itu, menambahkan kekeliruan kepada umat Islam sendiri dalam menutup aurat dan berhias juga menimbulkan kemafsadan yang lebih besar iaitu membangkitkan syahwat lelaki apabila sebahagian tubuh wanitanya dipamerkan.

            Menutup aurat  dan berhias sebenarnya mendisiplinkan seorang wanita bagi melindungi tubuh badannya yang sering menjadi bahan nafsu lelaki yang tidak takutkan Allah swt dan membentuk diri berakhlak mulia. Bukan itu sahaja, ianya juga menjaga kehormatan wanita walaupun memberi sedikit bebanan kepada si pemakai namun ia tidak memberikan sebarang kemudaratan.

            Pensyariatan Islam datang melalui Al-Quran dan As-Sunnah dan dimurnikan lagi dengan disiplin-disiplin ilmu. Sesungguhnya datangnya syariah itu berpaksikan maqasid syariah dan bukan sia-sia yang datang satu pun dari Allah. Namun dengan erti menjaga mereka dari kerosakan yang asasnya didorongi oleh nafsu. Hikmah pensya.



AURAT
            Berdasarkan ayat ketetapan aurat melalui Surah an-Nur, ayat 31 merupakan perintah Allah kepada perempuan-perempuan mukmin untuk membezakan mereka dengan sifat-sifat perempuan jahiliah dan musyrik. Allah telah berfirman :
“ dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi suadara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (SURAH AN-NUR:31)

            Ayat ini diturunkan oleh Allah ketika Asma’ bin Mursid bersama Bani Harithah seperti yang dicatat oleh Muqattil bin Hayyan telah berkata, telah sampai kepada kami bahawa Asma’ bin Mursid telah berada di suatu tempat Bani Harithah, kemudian terdapat para perempuan masuk tanpa memakai kain sarung, maka terlihatlah apa yang ada di kaki mereka berupa perhiasan kaki dan terlihat pula dada mereka dan jambul-jambul mereka, kemudian berkatalah Asma’ : Alangkah buruknya ini, maka turunlah ayat ini. (1)

Definisi aurat
Dari sudut bahasa, 
tubuh yang tak boleh kelihatan atau wajib ditutup menurut hukum Islam. Manakala aurat yang tercatat dalam kamus online almaany.com, aurat bermaksud keaiban atau kecacatan (الخلل).
            Definisi secara istilah syarak bermaksud apa yang diwajibkan tutup dan apa yang diharamkan untuk dilihat. (1) Berdasarkan pengertian tersebut, penulis mendefinisikan aurat bermaksud menutup keseluruhan tubuh badan kecuali apa yang patut dizahirkan mengikut hukum-hukum Islam seperti kedua telapak tangan dan wajah.

            Islam datang memberi panduan kepada manusia cara berpakaian dan menutup aurat dengan betul. Ulama bersepakat wajib menutup aurat berdasarkan beberapa dalil:
Firman Allah Taala :
Pakailah perhiasan yang bagus pada setiap (memasuki) masjid.” (SURAH AL-A’RAF:31)
Ibnu Abbas berkata ayat ini menunjukkan kepada pemakaian dalam solat. (2)
Rasulullah telah bersabda, “ Wahai Asma’! sesungguhnya seorang perempuan apabila telah meningkat umur haid (baligh), tidak boleh lagi terlihat daripadanya kecuali ini dan ini (Rasulullah menunjukkan pada muka dan telapak tangan).
Para ulama telah bersepakat bahawa wajib menutup aurat sama ada ketika bersolat dan berada dalam keadaan yang lain. (3)

Had-had penutupan aurat
            Ulama banyak berbeza pandangan mengenai sejauh mana anggota badan yang perlu ditutup. Berdasarkan ayat Al-Quran,  “…dan janganlah menampakkan perhiasannya(auratnya) kecuali yang biasa terlihat…” (4)


------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
(1, 2, 3) Fiqh Islami wal Qadaya Muasaroh, Dr Wahbah Zuhaili, Juz 1 ms 633
(4) Surah An-Nur : 31

Di dalam Kitab Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir mencatatkan ianya bermaksud tidak boleh memperlihatkan perhiasan kepada ajnabi kecuali apa yang tidak boleh ditutupi. Berkata Ibnu Kathir  yang boleh dilihat oleh ajnabi adalah wajah dan telapak tangan sahaja.(1)
Penulis akan menerangkan had-had penutupan aurat mengikut perbahasan keempat-empat mazhab seperti yang tercatat dalam kitab Tafsir Ayat Ahkam berdasarkan Surah An-Nur ayat ke-31 : (2)
Mazhab Syafie dan Hanbali :Keseluruhan badannya berdasarkan nas oleh Imam Ahmad : telah berkata, “dan kesemua apa-apa pada wanita itu adalah aurat termasuk kuku.”
Mazhab Maliki dan Hanafi : Keseluruhan badannya kecuali wajah dan telapak tangan.

            Mafhum dari ayat Surah Al-Ahzab ayat ke-59 dan hadis Asma’, ulama telah bersepakat bahawa keseluruhan badan adalah aurat dan daripada mereka telah berkata kecuali telapak tangan dan wajah. Namun, Abu Hanifah telah menambah kakinya ( dari buku lali) hingga tumit bukan aurat. (3)
            Secara logiknya, wajah itu mampu menjadi aurat apabila timbulnya fitnah ke atas wanita tersebut kerana wajahnya yang terlalu cantik untuk dilihat dan mampu menjadi fitnah ke atas dirinya dan juga ke atas lelaki ajnabi. Dan mengikut sesetengah pendapat ulama, wajah adalah fitnah paling besar.

             
           






(1)     Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, As-Sabuni, Jilid 2 ms 480
(2)     Tafsir Ayat Ahkam, As-Sabuni, Jilid 2 ms 111
(3)     Fatawa An-Nisa’, As-Syarawi, ms 512


FESYEN
Wanita dan fesyen tidak dapat dipisahkan. Hakikatnya wanita itu sendiri perhiasan dan suka berhias. Namun begitu, di era ketamadunan teknologi dan fesyen, sebahagian wanita Islam sanggup melanggar batas-batas berpakaian dan berhias yang telah ditetapkan syarak seperti yag terkandung dalam Al-Quran. Tujuan manusia berpakaian dan menutup badan adalah untuk kelihatan sopan, tetapi perhiasan dan dekorasi terlebih dahulu menjadi aspek penting dalam berpakaian.

Definisi fesyen
Merujuk Kamus Dewan dan Pustaka, fesyen adalah gaya pakaian, kosmetik, tingkah laku dan lain-lain yang menjadi kegemaran ramai. Menurut Colin Mc Dowell,Pengerusi Kumpulan Kostum di Britain menyatakan bahawa, fesyen adalah sesuatu yang berkembang mengikut peredaran zaman. Fesyen juga mengikut keadaan sosial, politik dan kebudayaan sesuatu tempat.
Penulis merumuskan fesyen adalah bukan sahaja penggayaan dari segi berpakaian malah dari segi kehidupan sosial dan akhlak manusia yang terjerumus mengikut peredaran masa yang semakin maju. Secara jujurnya, apa yang dilihat generasi-generasi sekarang berfesyen tidak mengikut piawaian syarak dalam pelbagai aspek. Oleh itu, timbullah istilah-istilah fesyen yang dianggap muslimah namun secara zahiri bukan maknawi seperti fesyen lolita, fesyen hijabista dan pelbagai nama-nama fesyen yang pelik.
Falsafah fesyen Barat amat mengetengahkan suatu fesyen yang mengikut zaman dan tidak menuruti syarak juga menaikkan ghairah lelaki lalu ingin meraih pujian semata. Mereka juga menentang wanita menutupi seluruh tubuh badan mereka dan beranggapan ianya perbuatan melanggar hak kebebasan bagi wanita. Selain itu, mereka juga mengatakan berbogel juga adalah hak asasi manusia.
Falsafah fesyen dalam Islam adalah berpakaian atau berhias kemas, menutup aurat dan sopan. Hal ini kerana, cara berpakaian akan menggambarkan siapa diri kita sebenarnya. Mengapa Allah turunkan ayat cara berpakaian dan menutup aurat, adalah hendak membezakan kita dengan orang-orang jahiliah dan musyrik.

MAQASID AS-SYARIAH
Maqasid as-syariah secara bahasanya adalah bermaksud tujuan-tujuan syarak.  As-Syatibi menulis, sesungguhnya syariah bertujuan mewujudkan kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat. (1) Maqasid as-syariah menjelaskan hikmah-hikmah di sebalik hukum-hakam. (2)
Tujuan-tujuan maqasid as-syariah diklasifikasikan dalam pelbagai jenis, mengikut klasifikasi tradisional, maqasid dibahagikan kepada tiga peringkat keperluan iaitu; ad-dharuriyyat(keperluan), al-hajiyyat(kehendak) dan at-tahsiniyyatAd-dharuriyyat kemudiannya dibahagikan kepada lima; menjaga agama, nyawa, harta, akal dan keturunan.
Kesemua lima perkara yang dijaga syarak itu adalah suatu sistem yang mengambil kira semua ummah Islam di dunia ini dan perlu dijaga oleh umat Islam supaya umat Islam terpelihara. Peringkat dharuriyyat adalah peringkat paling tinggi dan paling asas dalam kehidupan manusia.
Selepas peringkat ad-dharuriyyat adalah peringkat al-hajiyyat (kehendak). Peringkat ini adalah peringkat yang rendah daripada ad-dharuriyyat dan tidaklah menimbulkan kesusahan kepada manusia jika tidak melaksanakannya. Manakala, at-tahsiniyyat pula adalah peringkat yang menjadikan kehidupan manusia berada di tahap akhlak yang cukup tinggi dan baik, juga mencantikkan kehidupan dan tujuan.
Oleh yang demikian, maqasid as-syariah adalah suatu yang dituntut dalam kehidupan manusia bagi menyinar kembali tujuan dan prinsip-prinsip undnag-undang Islam dalam kehidupan Islam. Selain itu, maqasid juga adalah himpunan tujuan-tujuan ketuhanan dan konsep moral yang mendasari undang-undang Islam.
(1)     Al-Muwafaqat, As-Syatibi, Juz 2 ms 261
(2)     Memahami Maqasid Syariah, Dr Jasser Auda, Penterjemah: Marwan Bukhari, ms 4

APLIKASI MENUTUP AURAT DAN FESYEN DALAM DIMENSI MAQASID SYARIAH

            “ Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim, Nasaie, Ibn majah, Ahmad dan Baihaqi)

Kita sudah membincangkan apa yang dimaksudkan dan had-had penutupan aurat di dalam Al-Quran juga perbincangan kita menjurus kepada definisi dan falsafah fesyen Barat dan Islam, malah penulis juga menulis pendefinisian maqasid syariah itu sebelum kita membincangkan aplikasi menutup aurat dan berfesyen.

            Tidak dinafikan, lambakan fesyen-fesyen muslimah dalam industri fesyen ada sebahagiannya menampilkan rekaan yang menutup aurat dan mengikut syarak. Namun, dalam lambakan fesyen itu, adakah terdapat fesyen muslimah yang memenuhi piawaian syarat Islam?

Isunya di sini, adakah masyarakat Islam juga berperanan penting dalam memastikan cara berpakaian dan fesyen masa kini mengikuti indikator yang digariskan selari dengan hukum syarak?

            Maqasid syariah telah menjelaskan hikmah-hikmah di sebalik pensyariatan Allah kepada manusia.  Bagaimana, kita menggunapakaikan maqasid syariah dalam menentukan masalah feseyen pada zaman sekarang? Setiap perkara yang disyariatkan Allah swt sama ada wajib, sunat, harus dan haram maka ia memiliki peringkat di dalam menentukan kekuatannya di dalam pensyariatan.

Maka, kesimpulan dalam hal ini dapat ditentukan bahawasanya hal berpakaian dan menutup aurat adalah di peringkat ad-dharuriyyat, ianya merupakan satu keperluan yang bertujuan menjaga maruah manusia. Tambahan pula ianya dalam keperluan menjaga agama, menutup aurat seperti yang disyariatkan adalah melambangkan siapa kita dan anutan kita.

Di dalam hal berfesyen dapat dirumuskan berada di dalam peringkat at-tahsiniyyat, iaitu bertujuan mencantikkan tujuan berpakaian itu sendiri. Islam menggalakkan semua perkara ini namun begitu Islam turut memberikan penekanan, manusia sepatutnya menjadikan ini sebagai prioriti paling rendah. Hal ini kerana, berpakaian, berhias dan berfesyen dalam keadaan sederhana itu lebih baik dan mengikut aturan yang telah ditetapkan.

Antara tujuan berfesyen dalam Islam adalah :
1.      Fesyen merupakan medium komunikasi yang jelas. Daie dan umat Islam mampu menjadi model dakwah hanya dengan berpakaian kemas dan sopan kepada muslim dan non-muslim.
2.      Menunjukkan Islam itu luas dan mampu diikuti dengan cara bersederhana dalam berpakaian.
3.      Menunjukkan identiti seorang Muslim itu tidak kolot.
Garis panduan berpakaian mengikut hukum syarak (1):
1.      Pakaian yang menutup aurat
2.      Pakaian yang longgar
3.      Pakaian yang labuh
4.      Pakaian yang tidak jarang
5.      Tidak bercorak dan berwarna yang keterlaluan
6.      Pakaian tidak menyerupai lelaki
7.      Tidak menyerupai agama lain
Setelah dinilai dengan jelas, maka boleh dirumuskan bahawasanya fesyen ini dibolehkan dan diharuskan di dalam Islam. Namun begitu, ia wajib mengikuti garis panduan yang diberikan .

PENUTUP
            Sebagai seorang Muslim, tidak boleh tidak untuk kita mengikuti syariat Allah swt yang mulia ini. Allah swt tidak mensyariatkan sesuatu kewajipan untuk melakukannya atau meninggalkannya dengan sia-sia. Islam tidak melarang untuk berfesyen malah digalakkan untuk
           



(1)     Wanita Dambaan Syurga, Mohd Zuhdi Ahmad Khasasi. Ms128
berpakaian kemas, cantik dan wangi. Namun, tegasnya di sini, harus diingat bahawa melakukan hal itu jangan sampai kepada terhapusnya maqasid syariah yang menjaga perkara dharuriy iaitu agama, nyawa, akal, nasab atau maruah dan harta.

            Asas berpakaian di dalam Islam adalah untuk menutup aurat. Jika tidak menutup aurat dalam berpakaian, maka itu telah merosakkan pemeliharaan terhadap maruah seseorang wanita.
Konklusinya, prinsip wasatiyah atau bersederhana dalam berfesyen dan berpakaian adalah prinsip yang tepat selari dengan zaman dan reality semasa. Imej Islam adalah salah satu tujuan rujukan orang bukan Islam dan penjagaan umat Islam itu sendiri.

RUJUKAN
1.      Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, As-Sabuni, 2012, Beirut, Maktabah Al-Asriah
2.      Fiqh Islami wal Qadaya Muasoroh, Dr Wahbah Zuhaili, 2010, Damsyik, Dar Fikr
3.      Tafsir Ayat Ahkam, As-Sabuni, 2008, Dar As-Sabuni
4.      Fatawa An-Nisa, As-Syarawi, 2008, Beirut, Maktabah Al-Asriah
5.      Al-Muwafaqat, As-Syatibi
6.      Memahami Maqasid Syariah, Dr Jasser Auda, Penterjemah: Marwan Bukhari, 2014, Kuala Lumpur, PTS Islamika
7.      Wanita Dambaan Syurga, Mohd Zuhdi Ahmad Khasasi
8.      Dewan Bahasa & Pustaka
9.      almaany.com


Comments

Popular Posts