MISI BERTAMADUN
20 JANUARI 2013
Tepat jam lima petang,aku sampai di
sebuah kota peninggalan bangsa Rom Timur atau nama istimewanya Rom Byzantine.
Kota Jerash. Setelah berpenat mengembara sebagai musafir sejarah yang telah
membelah wilayah-wilayah Jordan,kini aku akan mengembara sebuah kota yang amat
besar di sebuah kawasan terletak di bahagian tengah Jordan. Jaulah kali ini
menjadikan aku seorang musafir dan penjejak tamadun ala-ala Lara Croft. Ku
berjalan sendirian menuju kaunter pembayaran dan dikenakan bayaran 0.50 qursh
seorang. Murah,sangat murah bagi aku untuk menjelajah kota Jerash yang
mengambil masa hanya 45 minit berjalan.
Ku menapak kaki kecilku ke pintu
gerbang kota yang amat tinggi dan besar. Ya,semasa SPM,inilah impianku iaitu
menjejaki tamadun dunia. Dulu aku hanya lihat panoramanya di dalam buku teks
sejarah yang bisa melelapkan mata dan sekarang,nah,aku di sini.
“ Katakanlah (Muhammad),
“Bepergianlah di bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang dahulu.
Kebanyakan dari mereka adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah).”
[Rum:42]
Jerash atau nama asalnya Gerasa dan
pernah berada di bawah penaklukan Alexander The Great pada 233 sebelum Masihi.
Jerash terletak di bahagian tengah Jordan dan merupakan salah satu Decapolis
iaitu antara 10 bandar Rom terlengkap di luar Rome,Itali.
Selesai sahaja menapak di pintu
gerbang,mataku melilau ke sebuah kawasan penunggangan kuda kuno. Aku tidak
mempunyai kamera yang berkualiti untuk menangkap gambar setiap bangunan kuno
yang ku temui,jadi aku hanya melihatnya dan menyimpannya dalam ingatan sebagai
memori. Langkah demi langkah.
Kini aku berada di Medan Bujur atau
lebih dikenali sebagai Oval Plaza. Medan ini berkeluasan 90x80 meter dan
dikelilingi kaki lima yang luas dan ditengahnya terdapat dua kolam bersama
pancutan air yang dibina pada kurun ke-7. Aku amat tertarik dengan barisan
tiang yang mengelilingi Medan Bujur. Barisan tiang dibina daripada senibina
Yunani. Medan Bujur yang tidak bersimetri dianggap aneh di bandar-bandar
klasik,namun ia mempunyai peranan yang khusus. Pelancong yang menuju ke medan
ini daripada selatan tanpa disedari akan menuju ke arah utara Cardo.
Kakiku menuju ke arah utara.
Ternyata lebih banyak tiang dan dikenali sebagai Jalan Jajaran Tiang
(Collonanded Steet). Ku lihat batu-batu lama masih kekal di Jalan Jajaran Tiang
juga kesan roda kereta kuda masih kelihatan di sepanjang jalan tersebut. Jalan
Jajaran Tiang ini telah dilebarkan ke bentuk Corinthian yang dilihat pada hari
ini.Ku menoleh ke sebelah kanan. Hanya Allah yang tahu,perasaan ini,sangat
cantik pemandangan Jordan apabila berada di sebuah kota rom yang besar dan
klasik ini. Maka,tidak hairanlah mengapa Rom Byzantine antara tamadun dan
empayar yang terkuat satu tika dahulu selepas tamadun Parsi.
Macellum atau pasar iaitu sebuah
bangunan di sebelah kiri Jalan Jajaran Tiang. Inkripsi berhampiran air pancutan
berbentuk kepala singa bertarikh 211 Masihi. Ku meneruskan perjalanan menuju ke
utara Cardo. Cardo sepanjang 800 meter merupakan ‘tulang belakang’ senibina dan
kegiatan penduduk Gerasa. Ku memanjat
bangunan-bangunan di bandar klasik ini. Kawasan sekitarnya menghijau dan banyak
tinggalan bangunan masih utuh untuk dilihat dan selebihnya telah musnah dek
gempa bumi.
Misi aku seterusnya menjejak
kuil-kuil dan gereja-gereja. Aku hampa kerana kami tiada pemandu pelancong
untuk memberitahu bangunan ini apa dan apa. Makrufnya, kita semua pasti tahu bahawa
Rom adalah satu bangsa yang menganut agama Samawi atau Kristian. Jadi,sudah
tentu kuil-kuil dan gereja-gereja banyak dibina di kota klasik ini. Lemahnya
kami pelajar Malaysia di Jordan,bukan sahaja lemah berkomunikasi dalam bahasa
arab ammiah malah malas untuk mencari maklumat berkaitan tamadun. Tiada tamadun
yang tidak bagus,tiada tamadun yang tiada jatuh bangunnya. Begitulah tamadun
Rom yang dikalahkan oleh tentera Islam sendiri walaupun sekian lama menakluk
kawasan timur. Masakan ada pepatah, Rom tidak dibina dalam sehari.
Akhirnya aku dan sahabat-sahabat aku
meneruskan perjalanan ke Colloseum. Seni bina Colloseum sangat aku kagumi.
Inilah bangunan klasik yang aku idam-idamkan untuk dijejaki. Akhirnya,aku di
sini. Uniknya Colloseum ini ialah apabila kita berada di atas pentas,tidak
perlu menggunakan mikrofon atau sebarang alatan pembesar suara. Suara kita akan
didengari di setiap penjuru. Jangan sangka tiada sebarang teknologi digunakan
pada zaman gangsa. Mungkin kerana Colloseum ini berbentuk bulat menyebabkan
suara terkepung dan terpantul antara satu sama lain. Kebiasaanya ia digunakan
untuk persembahan dan mengumpulkan kesemua ahli-ahli dewan bandaraya. Semasa
aku melawat bangunan unik ini,sebuah persembahan telah diadakan. Persembahan
trompet dan orkestra mini. Sangat menarik dan menghiburkan penonton.
Mengikut pembacaan aku,Colloseum ini mempunyai
14 barisan tepat duduk dan sekarang hanya tinggal lebih kurang tujuh ke lapan
barisan. Kebanyakan batu-bata di bandar klasik ini digunakan untuk pembinaan di
Jordan atau pembinaan bangunan lain. Tepat jam 5.45 petang,aku dan para peserta
yang lain mulai beransur pulang dan menjamu mata di gerai-gerai cenderahati.
Sempat aku membeli sebuah topi bertulisan ‘Jerash Jordan’ dan berwarna koko.
Kebanyakan akhwat membeli topi yang bersifat feminin namun bagi aku biarlah
ole-ole itu bersifat kenangan.
KEJATUHAN EMPAYAR TERBESAR
Mengapa kali ini,aku menulis tentang
tamadun Rom dan tidak menulis tamadun Islam? Persoalan yang pasti bermain di
minda pembaca bukan. Jordan merupakan negara yang dikuasai oleh empayar Rom
suatu ketika dahulu. Saatnya Rom jatuh ke tangan umat Islam,betapa berharganya
Negara ini yang dikenali sebagai Bumi Syams Bumi Barakah kepada kita umat
Islam. Ura-ura mengatakan kita ini bersemangat ingin membangunkan empayar Islam
dan Daulah Islamiyyah suatu tika nanti. Tidaklah aku menghalang kerana aku
seorang muslim seperti kalian. Pasti ada suatu iktibar yang kita boleh ambil
daripada kejatuhan empayar terbesar ini dan empayar Islam yang sangat gemilang
suatu tika dahulu.
Bangunan-bangunan klasik tamadun Rom
amat banyak dan besar di Jordan. Masakan aku tidak menggaguminya walau sedikit.
Kerajaan Rom di Jordan adalah Rom Timur atau Rom Byzantine.Kerajaan Rom
Byzantine merupakan nadi kepada Kerajaan Besar Rom di Itali. Di sini sebenarnya
gigi taring kuasa kerajaan Rom saat-saat Kerajaan Rom Barat hampir jatuh. Kerajaan
Rom Timur memerintah dari Itali hingga Anatolia,Turki.
Empayar Rom timur merupakan kerajaan
yang melindungi undang-undang dan budaya Rom. Kerajaan ini amat dipengaruhi
oleh budaya dan bahasa Yunani. Antara sumbangan besar Empayar Rom dan kesannya
pada dunia hari ini terutama dunia barat ialah perkembangan hukum,perang,seni,sastera,arkitek,teknologi,agama
dan bahasa. Dewan Senat adalah antara pengaruh yang paling ketara dalam
kerajaan moden dan masih dapat dikesan pada hari ini.
Rom Timur terkenal dengan kota
terkebal dunia yang bernama Konstantinopel.Saat kemuncak kejayaan empayar gah
ini,Kerajaan Rom mempunyai dua fahaman mazhab yang menyebabkan kesatuan dan
kekuatan mereka lemah iaitu Mazhab Ortodoks dan Mazhab Katholik. Sebuah hadis
Nabi saw berbunyi :
“Kota Konstantinopel pasti jatuh ke
tangan orang Islam. Ianya adalah sebaik-baik raja,sebaik-baik tentera dan
sebaik-baik rakyat.”
Pada akhirnya, Empayar Rom ditakluki
Empayar Turki Uthmaniyyah dan digulingkan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh pada 29
Mei 1453. Jatuhnya Empayar Rom memberi kesan dan kebaikan pada umat Islam tika
itu. Siapa tidak tahu generasi masa itu menggunakan segala
kudrat,strategi,teknologi dan tawadhuk ingin menumpaskan sebuah empayar yang
kelihatannya cukup gah dan bongkak.
SEBUAH TAMADUN
Aku melihat sebuah tamadun yang
jatuh di tangan umat Islam. Di Jordan,aku melihat dan merefleksikan diri aku
menjadi umat Islam yang kental dan tidak mudah luntur seperti terkena ‘Vanish
Liquid’. Empayar Turki Uthmaniyyah juga jatuh ketika pemerintahan Kamal
Ataturk.
Aku meneliti setiap siri peperangan
di Jordan yang melibatkan tentera islam dan tentera rom,antaranya, Perang
Yarmouk dan Perang Mu’tah. Ada kita menang dan sebaliknya. Sebenarnya
kemenangan dan kejayaan sesuatu tamadun bermula dengan keyakinan dan misi yang
jitu. Aku lebih memuji Tamadun Islam berbanding Tamadun Rom kerana bermulanya
Tamadun Islam,ilmu,sastera dan peradaban manusia makin meningkat. Namun sejak
kejatuhan Tamadun Islam seolah-olah semua itu hilang dimamah usia dan dilupai
kita sendiri.
Sebenarnya kita di tamadun yang
mana? Tamadun hedonisme,teknologi dan perbalahan.
Betullah kata pepatah,sejarah akan
berulang apabila kita melupakannya. Sejarah kejatuhan Tamadun Islam berulang
sama dengan kejatuhan Tamadun Rom. Sama-sama kita menghayati tamadun dan
peradaban dunia juga sirah nabawiyyah untuk diambil iktibar.
Pemusafiran di Bumi Syams cukup
membuatkan aku bangun dari lena untuk mengejar misi menjadi manusia bertamadun
dan berakhlak. Apakah aku berjaya menjulang misi aku?
-
AFAF
ALIAH BINTI MOHD JAMIL-
-
TAHUN
3,USULUDDIN -
KARYA TEMPAT PERTAMA TRAVELOG MDC PERMATA 2014
Comments
Post a Comment