ULASAN BUKU : WHO MOVED MY CHEESE?

PROFIL BUKU
TAJUK : WHO MOVED MY CHEESE?
PENULIS : DR. SPENCER JOHNSON
PENTERJEMAH : HASANAH M DAUD
TERBITAN : PTS PROFESSIONAL PUBLISHING SDN.BHD.


Seorang sahabat saya memberikan sebuah buku motivasi ini kepada saya seraya berkata, “ Bila kita membaca buku ini,kita pasti sudah tahu siapa yang mengalihkan keju kita?”. Melihat dan membaca buku ini menimbulkan satu keinsafan yang tinggi pada diri saya dengan mengatakan , setiap hari kita pasti mengalami perubahan dari segi kerjaya,kewangan,kehidupan malah iman kita juga kadang-kadang turut berubah menaik dan menurun.

Buku ini ditulis oleh Dr Spencer Johnson merupakan pengarang bestseller dan buku ini serta-merta menjadi buku bestseller antarabangsa nombor 1 dunia. Who Moved My Cheese? Merupakan sebuah buku motivasi cara menikmati dan menghadapi perubahan pada diri kita dan mempunyai sebuah kisah menarik dan lucu di dalamnya. Kisah ini ditulis bagi membantu Dr Spencer Johnson bagi membantu dirinya menguruskan perubahan yang sukar dalam hidupnya.

Setiap orang pasti mengalami perubahan dalam dirinya. Tidak dinafikan ada yang berubah kepada menjadi seorang yang berjaya dan ada yang kecundang. Jadi,bagaimana kita menghadapi dan menikmati perubahan yang kita alami? Buku ini menceritakan sebuah kisah tentang perubahan yang berlaku di daerah Maze yang melibatkan empat watak menarik. Pada mulanya,saya menganggap kisah ini seperti kisah bergenre kanak-kanak namun ia memberikan kesan dan mengubah pandangan saya. Empat watak tersebut ialah,dua watak daripadanya adalah tikus bernama Sniff dan Scurry. Dua watak yang lain adalah manusia kerdil bernama Hem dan Haw. Keempat-empat watak ini mencari keju bagi menggembirakan hati sendiri. Daerah Maze merupakan sebuah daerah yang berliku dan terdapat banyak keju di dalamnya. Banyak perubahan berlaku pada keempat-empat watak ini kerana kehilangan keju yang menggembirakan hati mereka.

Mengapa menggunakan keju dengan watak tikus dan manusia kerdil juga kawasan yang berliku?

Keju merupakan metafora bagi perkara yang kita mahu dalam hidup seperti kerjaya,perhubungan,kewangan dan lain-lain yang anda diidamkan. Manakala kawasan berliku yang dimaksudkan adalah tempat yang menemukan apa yang kita mahu. Selain itu,watak tikus menggambarkan Sniff dan Scurry mempunyai pemikiran yang mudah,gerak hati yang bagus dan bertindak mengikut keadaan. Bagi watak manusia kerdil menggambarkan watak yang mempunyai pemikiran yang kompleks,yang mempunyai pelbagai perasaan dan pelbagai kepercayaan.

Kisah ini menggambarkan perubahan hidup yang bakal kita hadapi pada masa akan datang dan bagaimana kita menghadapi perubahan tersebut? Adakah kita bertindak seperti Sniff yang dapat menghidu perubahan awal. Ataupun Scurry yang pantas bertindak. Ataupun Hem yang menafikan dan menolak perubahan kerana takut perubahan menjadikan keadaan lebih buruk. Ataupun Haw yang belajar menyesuaikan diri apabila melihat perubahan dapat menjadikan keadaan lebih baik.

Menariknya buku ini menggunakan keju sebagai agen perubahan kepada diri kita. Segala perubahan yang berlaku pada keju akan menyebabkan kita bertindak sama ada seperti Sniff,Scurry,Hem atau Haw. Keju dalam kehidupan kita sentiasa berubah mengikut situasi dan masa.

Allah telah berfirman di dalam Quran : “… tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu,padahal itu baik bagimu,dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu,padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” [Al-Baqarah: 216]

Ketika membaca kisah ini,saya ingat bahawasanya Allah yang mengatur dan pencipta skrip dalam kehidupan kita. Apabila menghadapi sesuatu perubahan dalam diri kita,sama ada kita menerimanya dengan pemikiran positif atau negatif. Kadang-kadang saya menyedari keempat-empat watak dalam kisah ini ada dalam diri saya dan saya memilihnya yang bagaimana harus saya ambil bagi menghadapi perubahan mengikut keadaan semasa. Kesannya, buku ini memberi impak kepada saya agar lebih matang dan bersifat produktif dalam menghadapi perubahan.

Kesimpulannya, hidup kita sentiasa berubah. Memiliki kehidupan yang sempurna menyebabkan kita gembira seperti memiliki keju yang sedap untuk dimakan. Semakin penting keju itu kepada kita,semakin kuat kemahuan kita untuk memiliki keju itu. Jadi,apakah kita perlu takut menghadapi perubahan keju? Apakah yangs ekiranya kita buat jika kita tidak takut? Ingat prinsip 216 yang dinyatakan dalam Al-Quran. Bukan sahaja menenangkan jiwa malah kita akan menjadi seorang yang positif. Rajin-rajinlah membelek lembaian Al-Quran dan buku-buku yang mampu memberi motivasi kepada diri juga orang sekeliling. Wallahualam.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                             ` ALONG ALIAH ~               

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Comments

Popular Posts