DIARI SARAWAK : SARAWAK I AM COMING
2/9/2018
Tepat pada pukul 6.25 pagi, kapal terbang yang kami naiki berlepas dengan megahnya dari Lapangan Terbang Bayan Lepas. Alhamdulillah. Aku mampu panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmatNya. Aku bersama 3 orang lagi sahabat seperjuangan akan memulakan perjalanan dan menuju ke Sarawak. Sarawak Bumi Kenyalang. Sebelum berlepas, banyak kata-kata semangat dan pesanan yang aku genggam dalam tangan daripada keluarga dan sahabat-sahabat. Moga-moga jadi bekalan positif apabila berada di Bumi Kenyalang.
Sampai sahaja di Kuching pada pukul 11 pagi, aku bersama sahabat-sahabat yang lain bergerak ke hotel yang terletak di Jalan Nanas. Selesai sahaja mendaftar masuk ke bilik masing-masing, kami agak kelaparan dan keletihan. Maka kami mengambil keputusan untuk berehat, solat jamak taqdim zohor dan asar dan mencari sesuap nasi sebagai alas perut pada petang itu. Dengan hanya berjalan kaki dan merujuk Google Maps mencari restoran, akhirnya kami berjumpa satu kedai melayu yang menyediakan juadah Melayu dan Indonesia. Tanpa membuang masa kami pun mengalas perut. Usai sahaja kami makan tengahari, kami pulang ke bilik masing-masing dan terus tertidur.
Betapa letihnya kami hanya Allah yang tahu. Moga ada sinar di pagi esok dalam menyambut keletihan.
3/9/2018
Pada pukul 7 pagi, kami berlima tiba di Lobi Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Dengan penuh senyuman dan hati yang berdebar, kami memasuki ke lobi dan mendaftar. Taklimat dan lapor diri pada hari ini dijangka habis pada pukul 1 petang. Selesai ketiga-tiga taklimat berkenaan pelantikan kami sebagai Guru Interim DC 41, kami diberi surat pelantikan oleh Timbalan Pengarah JPN Sarawak mengikut daerah masing-masing. Aku sebagai wakil Daerah Betong menuju ke pentas diiringi sahabat-sahabat lain dengan penuh senyuman dan debaran. Iyalah sekolah manakah kami bakal ditempatkan untuk berkhidmat? Tepat pukul 12.30 tengahari, kami membuka sampul surat bersama-sama dan dengan penuh kesyukuran, aku bakal berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Datuk Bandar, Debak. Sambutan penempatan kami disambut dengan iringan muzik yang mungkin akan memberi semangat kepada kami bakal guru. Alhamdulillah.
Pada pukul 1 petang, kami para Guru Interim yang bakal berkhidmat di Daerah Betong bergerak ke Betong yang mengambil masa perjalanan selama 5 jam dengan hanya menaiki van. Perjalanan yang berliku inilah mungkin menjadi sebab kepada kami untuk tabah menghadapi setiap cabaran yang mendatang. Aku hanya mampu tersenyum dan memikirkan hal-hal mendatang yang bakal aku lalui.
Dan moga-moga Allah redha dan berkati setiap perjalanan ini.
IT IS A VERY LONG ROAD BUT IT WILL BE WORTH IT.
Comments
Post a Comment