CERPEN MDC :MENUNGGU RAMADHAN

1




Matahari tegak berdiri terpacak di puncak langit yang bisa menyakitkan ubun-ubun kepala. Hari ini hari Sabtu,ramai orang kebanyakan keluar membeli-belah bersama keluarga. 15 Syaaban,dua minggu lagi bakal menjelang Ramadhan. Orang ramai berpusu-pusu membeli kain ela untuk dibuat baju raya. Adat di Malaysia,siapa lambat menempah baju,tiadalah berbaju baru di pagi raya. Tidak terkecuali keluarga si anak kecil Aiman. Anak kecil yang hidupnya sederhana namun jiwanya periang dan sedap mata memandang. Anak kecil itu usianya baru tujuh tahun tetapi petah berbicara dan matang fikirannya dek kehidupan yang mengajarnya erti berdikari.


Tengahari itu,dia bersama ibu dan kakaknya memilih-milih kain ela untuk dibuat baju raya. Bermacam-macam aneka warna dan corak menjadi pilihan. Tahun ini tema baju berwarna coklat. Kakaknya memilih kain sarung berwarna merah jambu dan bercorak batik untuk digandingkan dengan kain kosong berwarna coklat gelap. Kali ini dia mahu menggayakan baju kebaya labuh ala-ala muslimah moden. Aiman hanya memilih kain berwarna coklat dan bertanahkan petak-petak kecil.


“ Ibu,mengapa kita membeli kain awal untuk dibuat baju raya. Lagi sebulan lebih kita akan beraya.”soal anak kecil itu kehairanan kerana bulan puasa belum tiba lagi.


“ Baju ini harus ditempah awal,kalau terlambat,kamu tak punya baju baru.” Ujar si ibu lembut.


“Adik tidak sabar menunggu bulan puasa.”Aiman tersenyum riang kerana tahun ini adalah tahun pertama untuknya berpuasa. Ibunya bernama Halijah, Halijah senang melihat Aiman bersungguh-sungguh ingin belajar puasa. Halijah pernah mendengar, kewajipan berpuasa ke atas muslim itu wajib tetapi sunat bagi kanak-kanak yang belum baligh. Dia ingin mengajar anaknya berpuasa seawal usia tujuh tahun agar bila besar nanti tidak culas dalam menunaikan suruhan agama. Anak daranya pula, Amira,dihantar bersekolah di sebuah sekolah agama bantuan kerajaan. Dek kerana desakan waktu yang membicarakan perihal anak muda-mudi yang semakin lalai dan leka, Halijah membuat keputusan menghantar Amira ke sekolah agama agar anaknya menjadi insan berguna dan bijak dalam menilai kehidupan serta taat akan suruhan agama. Amira jarang bersama-sama ibunya dan Aiman. Namun,pada awal Ramadhan.pihak sekolah memberi kebenaran pulang ke kampung halaman masing-masing untuk berpuasa bersama keluarga tercinta.


“ Ibu,malam ini di surau ada ceramah agama sempena bulan Syaaban dan Ramadhan,ayuh kita ke sana usai Maghrib”tegur Amira memulakan bicara. Gadis itu sangat cantik dan sopan tutur katanya. Ramai pemuda mengintai-intai untuk dijadikan isteri dan mak cik-mak cik kampung ingin bermenantukan Amira. Namun Amira ini masih pelajar dan mempunyai cita-cita yang tinggi juga pintar orangnya. Pemuda kampung ramai yang segan dengan Amira,ibarat langit dengan bumi,mahu dibuat isteri,bakal ditolak mentah-mentah. Tambahan pula,ayahnya kaki judi dan kaki botol. Itulah yang paling digeruni masyarakat desa. Buat malu keluarga kata mereka.


“Baiklah,cepat hari sudah lewat petang,asar belum lagi.”kata ibunya. Mereka bersiap-siap membeli barang keperluan dan bergegas untuk pulang ke rumah. Hari sudah lewat sore,kemungkinan ayah mereka sudah pulang ke rumah mahu santapan.


2


“Nawaitu sauma ghadiin an adai syahri ramadhana hazihi sanati lillahi taala.”


“Alhamdulillah,hari ini dapat jugak Aiman bersahur,ya Allah berikanlah Aiman kekuatan berpuasa. Aiman nak jadi seorang anak soleh untuk ibu dan ayah,amiin.” Kata Aiman seusainya bersahur pada hari pertama Ramadhan.


“Aiman,cepat bersiap,jom kita mengaji kemudian kita pergi surau solat subuh yer,” tersenyum Amira melihat adiknya yang bersemangat pada hari pertama puasa. Dia dahulu kecil-kecil tidak bersemangat seperti adiknya. Banyak ponteng puasa dan curi-curi makan.


“Baiklah kak. Ibu,mana ayah? Kenapa ayah tak bersahur sekali dengan Aiman? Ayah ponteng puasa ek?.”Tanya Aiman bertubi-tubi. “Ish,budak ni. Nanti ayah dengar,marah dek ayah. Ayah puasa cuma ayah tak bangun sahur.” Jawab ibunya penuh berdalih.


“ Ustazah Aiman cakap,sahur itu sunat. Nabi suruh kita lambatkan bersahur dan awalkan berbuka.” Halijah hanya tersenyum melihat celoteh Aiman dan melihat Aiman berlalu pergi bersiap-siap pergi di hujung matanya.


Bumi yang bulat beredar mengelilingi matahari sesuai dengan orbitnya yang statik. Fajar subuh sudah pergi,matahari mula meninggi. Aiman tekun berteleku di atas tikar sejadah,seusai Zohor,Aiman mengaji dan menghafal ayat-ayat Al-Quran daripada juzu’ 30. Sudah menjadi kebiasaan Aiman menghafal surah-surah pendek selepas Zohor. Amira sering mengajarnya mengaji Al-Quran. Hari ini,Amira tidak bersama Aiman kerana membantu ibunya menyediakan juadah untuk berbuka.


Kedengaran bunyi motosikal memasuki halaman rumah. Aiman menghentikan bacaannya dan menyambut kepulangan ayahnya,Pak Samad.


“Assalamualaikum,ayah. Awalnya ayah balik. Ayah beli tak juadah untuk berbuka. Tak sabarnya Aiman.”ujar Aiman girang tatkala melihat figura ayahnya yang keletihan.


“Arghh,kau ni sibuk je. Lijah..Lijah,mana kau?”ditolaknya Aiman jatuh ke tanah,matanya liar mencari isterinya Halijah,tidak lain tidak bukan,ingin meminta wang daripada isterinya. Kakinya terkocoh-kocoh ke dapur tanpa takmaninah. Pak Samad,kaki judi dan kaki botol,orangnya garang dan tidak betah duduk di rumah. Keluar lewat tengahari,pulang ke rumah lewat tengah malam.


“Abang,saya tidak menjual hari ini. Hasil jualan tiada.” Halijah seperti cacing kepanasan. Setiap hari suaminya meminta wang dan tidak pernah serik bermain judi walaupun sudah beberapa kali ditangkap polis.
“Kau ni. Kerja menyusahkan aku je. Aku minta duit je.”


“Cukup-cukuplah tu bang berjudi. Sekarang ni dah masuk bulan puasa,bertaubatlah bang. Anak-anak kita dah semakin besar. Kita perlukan duit untuk biaya persekolah diorang.” Amira bergegas menyorok di bawah tangga dapur. Takut dan gelisah menghantui. Amira trauma kerana ayahnya pernah membawanya ke tempat perjudian untuk dijadikan tebusan. Mujur dia sempat melarikan diri.


“Anak kita tu tak payah sekolah,duduk rumah je tolong engkau. Kau tak payah nak ajar aku bertaubatlah,kau sendiri banyak dosa.”rayuan Halijah tidak didengari suaminya malah ditengking.


“Ini hari aku tak minta duit tapi esok,ingat. Aku tak balik malam ini,janji esok ada duit.”


Halijah menangis seesak-esaknya. Amira datang memeluk ibunya apabila ayahnya berlalu pergi. Ayahnya ke mana,tidak pula Amira ingin mengambil tahu. “Ibu,janganlah menangis. Sabar ya. Kali ini Allah nak uji kita. Kita kena bersangka baik dengan Allah.”pujuk Amira. “ Adik mana,Mira?”mereka mencari Aiman.


“Ya Allah,Aiman,anak aku.” Aiman terbujur kaku di lantai sejuk itu. “Aiman,Aiman bangun nak.” Aiman mengadu perutnya sakit. “Ibu,sakit,macam ada benjolan kat perut Aiman.”Amira kaget. Terkejut melihat adiknya mengerekot tidak bergerak. Dia bergegas meminta bantuan jirannya memanggil ambulans.


3


“Anak puan disahkan menghidap penyakit hernia iaitu angin pasang. Anak puan ditahap kritikal dan perlukan pembedahan dilakukan secepat yang mungkin. Saya harap puan bersabar.”kata Doktor Khalid,seorang doktor pakar perubatan di Hospital As-Syifa .


“Doktor,apa tidak ada cara lain selain pembedahan?”soal Amira. Amira kasihan melihat ibunya yang penat dan menangis dari tadi. Inilah ujian mereka di hari pertama Ramadhan.


“Tidak ada melainkan dengan rawatan tradisional sahaja iaitu mengurut namun adik kamu sudah sampai tahap kritikal.”


“Bagaimana dengan kosnya doktor?”soal Halijah tenang.


“Kosnya hampir mencecah RM1000.”


“Bagaimana saya ingin mencari duit sebanyak itu,tidak boleh kurangkan ke doktor.”


Setelah berbincang dengan Doktor Khalid,mereka ingin mencari ikhtiar lain bagi mengubati penyakit Aiman. Mereka buntu. Aiman dibenarkan pulang ke rumah. Halijah senang melihat Aiman,walaupun anak terunanya itu sering mengadu sakit tetapi mampu tersenyum.


“Ibu,Aiman sakit ya. Ibu jangan sedih tau, Aiman kuat, Aiman akan lawan penyakit ini. Ibu benarkan Aiman berpuasa yer esok. Kalau Aiman tak kuat,Aiman akan berbuka. InsyaAllah esok,Aiman cuba puasa penuh.”pujuk Aiman bila melihat ibunya asyik menangis. Amira menagis mendengar kata-kata Aiman. ‘Ya Allah,kuatkanlah hati-hati kami,satukanlah hati-hati kami,ini adalah ujian daripada Mu. Berikanlah kami kesabaran mengahadapinya.’ Amira bermonolog tanpa disedari air matanya menitis. Cepat-cepat diseka air matanya takut dilihat Aiman. Dia berjanji akan membantu Aiman agar kuat melawan penyakit itu. Amira bertekad.


Keesokan harinya, terdengar bunyi kicauan burung yang sangat menyenagkan,Aiman mencium bau-bau rimba menghijau di sekeliling kampungnya. Segar. Aiman suka menghafal ayat-ayat Al-Quran dan membaca buku di tepi sungai. Sungai Lawin. Airnya deras dan jernih. Aiman mengambil wuduk untuk menunaikan Solat Dhuha. Kakaknya sentiasa mengingatkan Aiman agar menunaikan solat sunat dan solat fardhu tepat waktunya dan jangan lupa menghafal surah-surah pendek. Aiman si anak kecil yang kecil dan pintar tidak pernah meninggalkan solat sejak Amira mengajarnya solat dan membaca Al-Quran. Seakan-akan sudah menjadi tabiat.


Usai menunaikan solat Dhuha, Aiman berdoa, “Ya Allah,jadikanlah aku seorang anak soleh dan penyejuk mata buat kedua ibu bapaku. Aku sayang mereka. Aiman nak jadi anak soleh ya Allah. Hari ini Aiman puasa,jadikan Aiman orang yang kuat dan sabar. Amiin.” Aiman berlalu pergi pulang ke rumah.


“Aku nak duit,mana duit aku. Semalam kau dah janji nak bagi aku duit.”


“Abang,saya tak ada duit. Duit itu saya simpan untuk kegunaan pembedahan Aiman nanti” Rayu Halijah kepada Pak Samad. Rambutnya direntap kuat sehinggakan dia tersembam ke lantai. Pak Samad memijak perut isterinya tanpa belas kasihan. “Abang,saya puasa bang. Bawa mengucap.” Amira yang bersembunyi dari tadi cuba meleraikan pergaduhan itu. Pak Samad ternampak kelibat Amira. Diheretnya Amira keluar rumah untuk dibawa ke pusat perjudian dan dijadikan tebusan. “Peduli apa aku dengan si Aiman itu,penyakitnya lama-lama sembuhlah.”  


Pagi yang cerah itu rupa-rupanya mendung bagi Aiman dan keluarganya. Aiman terdengar suara bising-bising di rumahnya lantas bergegas pulang ke rumah. Tiba-tiba,dia nampak kakaknya diheret oleh Pak Samad. Tanpa membuang masa,Aiman mengejar dan merayu-rayu di kaki Pak Samad.


“Ayah,jangan bawa kakak pergi mana-mana,kakak dan ibu tak bersalah. Aiman yang bersalah. Nanti Aiman pujuk ibu kasi duit itu kepada ayah. Ayah jangan marah ibu dan kakak.” Jiran tetangga hanya melihat kerana takut untuk bertindak.


“Kau apa tahu budak kecil. Kau hanya tahu menyusahkan ibu kau ja.”sergah Pak Samad dan ditendangnya Aiman ke muka jalan. Tanpa disedari,Aiman dilanggar sebuah kereta. Bunyi hentaman sungguh dahsyat. Aiman terjatuh dan kepalanya terhempas di batu.


“Aiman.”jerit kakaknya. Ayahnya kaget dan melarikan diri kerana ketakutan.


“Ibu,ibu,kakak,kakak.”suara Aiman sayup kedengaran. Halijah dan Amira berlari menuju kepada Aiman. 


“Aiman,bawa mengucap nak. Amira,lekas panggil ambulan.”


“Ibu,terima kasih ajar Aiman puasa. Aiman seronok. Ibu ajar Aiman mengucap. Aiman tak sabar nak rasa nikmat syurga.”Halijah menangis mendengar kata-kata terakhir anaknya. “la ilaha illallah.”


Jasad Aiman terbujur kaku di riba Halijah. Sepi dan sayu pagi itu. Detak jantung Aiman mulai lelah memacu,matanya dan nafasnya berakhir dengan sebuah kalimah tauhid. Ramadhan kedua Halijah kehilangan anaknya. Halijah reda dengan ketentuan Ilahi. Allah lebih menyayanginya. Angin yang berhembus membawa rasa pilu itu. 


“Maha Suci Allah yang ditanganNya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepadaNya kamu dikembalikan.” [Yasin : 83]

-ALONG ALIAH-

* Tempat kedua Pertandingan Mu'tah Design Competition (MDC) anjuran PERMATA.  :)








Comments

Popular Posts