Teh dan Pudina

18 September 2012

" Keif haluki? Ma ismuki?"
" Alhamdulillah ana kheir, ismi Afaf."

Buat pertama kalinya aku bertutur di dalam bahasa arab. Aku gembira dan tersenyum sendirian.
'Ah,pandai juga aku bercakap' monolog ku sendiri.

"Enti malizi,ukhtuha saadah" tanya sohib rumah ni yakni tuan rumah dan dipanggil mama. Setahu aku mama ni berketurunan Surairah.

"Saadah? La,ana fi bait ukht Abidah bi tabaqat thani." kataku walaupun sebenarnya aku tak berapa faham 'saadah' tu adakah nama orang atau maksudnya tolong.

"Taal ila baiti." mama mengajakku ke rumahnya dan Aminah menemaniku menziarahi rumah mama yang tak seberapa besar namun kemas,cantik berkarpetkan warna ungu,sofa dan langsir yang bercorak elegan dan aku kira perabot-perabot ini mahal harganya dan eklusif berbanding perabot di Malaysia yang hanya boleh dimiliki oleh orang-orang kaya sahaja.

   Baru sehari aku menjejak kaki ke Bumi Jordan,ku sudah dijemput minum petang ke rumah orang Arab juga tuan rumah. Mama menghidangkan teh pudina dan sepinggan biskut kepada kami. Sudah pasti hati kami berbunga dan gembira dilayan sebegitu rupa memandangkan kami berdua pelajar tahun satu. Mama mengajukan beberapa soalan kepada kami di dalam bahasa arab ammi,ada beberapa kalimat yang aku dapat tangkap dan tidak.Kelihatannya Aminah mendahului aku bertutur di dalam bahasa arab,ah,dia sudah sebulan di Jordan dan juga menghadiri daurah Lughatul Arabiyah sebelum ke mari,masakan mungkin dia tidak fasih berbahasa arab,getusku sendiri. Melihat keadaanku yang masih lagi tercungap-cungap dalam memahami bahasa mereka,lantas mama mengajarku kalimat-kalimat asas bahasa arab seperti sofa,karpet,pinggan,bantal dan beberapa ayat untuk memudahkan aku bermuamalat dengan masyarakat mereka.

   Aku tersenyum memikirkan kebaikan mama dalam mengajarku bersungguh-sungguh namun aku terfikir apakah aku mampu bertutur sefasih-fasihnya di dalam bahasa arab selama keberadaanku di Bumi Syams ini.


Perjalanan yang membawa seribu erti,penat lelah menuntut ilmu


-------------------------------------------------------------------------------------

Sudah setahun aku belajar di Universiti Mu'tah,Jordan dan sekarang aku berada di Tahun 2,Usuluddin,Fakulti Syariah. Aku senang sekarang belajar di sini walaupun aku masih lagi boleh  dikira sanfur dalam bermuamalat dengan masyarakat Arab. Inilah medan sebenar yang Allah ingin tunjukkan kepadaku,medan tarbiyah,medan dakwah,medan bersosial,medan belajar yang semuanya tiada sempadan.

  Sebelum ke Jordan,aku mempunyai cita-cita tersendiri iaitu aku ingin sekali menguasai bahasa arab dan membawa satu sijil yang tercatat namaku serta natijahnya ialah 'mumtaz' dan berguna untuk masyarakat Malaysia. Aku memikirkan cara yang efektif  untuk aku menggapai matlamat aku dengan sebenar-benarnya.. Aku bertanya kepada senior bagaimana untuk aku betul-betul menguasai bahasa arab,itu yang pertama di dalam kotak fikiranku. Nasihat seorang senior,banyakkan bermuamalat,banyakkan membaca kitab dan banyakkan bertalaqi. Wah,banyaknya banyak,fikir akal nakalku sendirian.

   Kedua,aku membina satu pelan tindakan yang perlu aku lakukan bagi menggapai impian tersebut dalam masa setahun. Aku mencoret di atas satu kertas kosong dan berwarna kuning lalu menulis di atasnya,'Desire 2013'.  Okay,siap. Aku tampal di board ku yang cantik yang penuh dengan kata-kata semangat dan kartun-kartun muslimah air tangan sendiri.

   Sekarang sudah memasuki bulan Disember 2013,aku melihat kembali nota yang aku pernah tampal dan lekat supaya dapat dilihat,ah,tidak!Masih lagi impianku di atas awan. Apa yang menyebabkan impian ku tidak tercapai lagi hingga saat ini. Aku menangis dan memikirkan keluarga di kampung. Aku merencana kembali cara untuk menghadapi masalah ini. satu per satu ku mencari solusi dalam setiap permasalahan yang berlaku.


maktabah yang memberikan khidmatnya kepada pelajar


Merencana Kembali

Prinsip aku sejak melangkah kaki di Jordan,'take a small step everyday you will get there someday'. Mentari terus menyinar,musim ke musim terus bertukar,hidup setiap insani ini kadang di atas kadang di bawah. Itulah aku seorang muslimah yang bergelar pelajar,yang memegang amanah sebagai naqibah,seorang anak kepada kedua ibu bapaku,seorang blogger semasa,seorang teman dan juga sahabat. Apa yang perlu ku teliti dan buat untuk menggapai impianku yang ku rasa masih kabur-kabur untuk ku gapai,aku teringat seorang ukht pernah memberiku satu ayat yang sangat menusuk kalbu dari ayat cinta Allah,"Sesungguhnya Kami tidak mencipta kamu itu sia-sia."(Surah al-Mu'minun:115). Apakah tujuan itu?Aku bertanya kembali di dalam diri dan ku muntijkan masa seharianku. Bermonolog sendiri,akanku guna masa 24 jam yang Allah kurniakan kepada umat manusia dengan sebaiknya. Tekadku.


Bersama sahabat mbermusafir menuntut ilmu

Menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan seperjuangan


  Sekarang aku menyusun kembali jadual-jadualku dengan perkara bermanfaat,ku lakarkan mutabaah amal ku sendiri supaya aku ada masa dan punya waktu bersama Tuhanku,bersama diriku,bersama sahabat-sahabatku dan bersama keluargaku yang nun jauh di mata.

   Penyusunan masa amat penting bagi seorang pelajar seperti aku terutama kita yang berada di luar negara. Jangan ingat berada di luar negara hanya mempunyai tenaga untuk belajar,balik,tidur,makan dan ke kuliah. Tidak wahai sahabat!Pelajar luar negara meski punya waktu bersama sahabat-sahabat lain untuk bermasyarakat,bermasyarakat dengan dua golongan,masyarakat Malaysia dan jika di tempat aku bersama masyarakat arab yang terlampau banyak kerenahnya.Kerenah merekalah yang mematangkan fikiran dan sikap kita. Teringat Allah berfirman yang bermaksud : "...Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal..."(Surah al-Hujurat:13).

   Ada pelajar arab yang bertanya."Mengapa kau memilih Jordan?".Jawab aku yang sememangnya lemah berbahasa arab dan tercungap-cungap menjawabnya,"sebab aku suka Jordan,aku nak belajar ilmu agama,aku nak mengenali ulama yang sememangnya aku tidak kenali sebelum ini dan memang impian aku dari kecil untuk ke negara arab." Detik di hati aku,harap kau faham wahai arab. Banyak persoalan yang mereka tanya dan kadang-kadang aku sendiri tidak mampu untuk menjawab.

  Usuluddin,pengkhususan yang terpaksa aku fikir dua kali,menyusun kembali subjek-subjek yang bakal aku ambil dan bila dilihat kembali,ya Allah berat pengkhususan ini rupanya. Aku bakal banyak mengkaji tentang perbandingan agama,ulama-ulama silam,manhaj-manhaj ulama dalam mentafsir ayat Quran,meriwayatkan hadis,cara mengeluarkan hadis,aqidah yang terdapat di atas muka bumi ini dan paling penting aku mesti kuasai bahasa arab dengan baik.

  Aku dapat mendalami betapa pentingnya ilmu tafsir,hadis,dan ilmu lughah dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat. Aku juga dapat merasai keperitan ulama silam dalam mempelajari ilmu-ilmu Allah,mereka merantau untuk mendapat secebis ilmu begitu juga pensyarah-pensyarah di universiti. Aku di sini adakah sekadar belajar main-main atau apa yang aku dapat,hadam,peperiksaan dan dapat markah,itu sahajakah.Tidak dinafikan aku pernah menangis sewaktu kali pertama masuk ke kuliah dan kelas Ulum Hadis juga kelas-kelas yang aku rasakan berat untuk aku hadam dengan sebaiknya.Seringkali ku berdoa sebelum kelas bermula,'Ya Allah berikanlah aku ilmu yang bermanfaat,rezeki yang baik dan amalan yang diterima.Ya Allah jadikanlah aku orang yang fasih berbahasa arab dan orang yang mendalami ilmu-ilmuNya.' Doa ini diberi oleh salah seorang ustazku sewaktu belajar di kolej dan aku amalkan sehingga hari ini.

Pengalaman sekadar pengalaman

   Perjalanan ke mari hampir beribu batu masakan tidak aku tidak mahu punya pengalaman yang berguna buat diri. Di bumi inilah ku mengenal erti tarbiyah,dakwah,organisasi,sahabat dan keluarga. Aku bersyukur biarpun tidak punya pengalaman dan situasi seperti sahabat-sahabatku yang belajar di Malaysia.Mereka menghadapi politik kampus yang sistematik dan hangat dengan pelbagai isu,yang diraikan apabila  hari konvokesyen menjelang,yang dekat dengan sanak saudara serta yang bebas melakukan apa sahaja tanpa memikirkan wang. Aku melihat di sini walaupun baru setahun jagung,aku sukakan ukhwah pelajar di sini,aku sukakan suasana politik kampus yang mementingkan kebajikan pelajar dalam pelbagai sudut,aku sukakan suasana ziarah menziarahi di sini,aku sukakan hari konvokesyen yang tidak semeriah di Malaysia walaupun tidak bersama keluarga tersayang namun diraikan bersama rakan-rakan yang pelbagai latar belakang.


Hari Konvokeseyen Kak Dekmah,semoga menjadi muslimah yang berkhidmat untuk masyarakat.


   Pengalaman melihat budaya arab yang juga pelbagai bukan sahaja Malaysia yang mempunyai budaya itu.Hakikatnya jika diamati tidaklah mereka itu sesopan anak Melayu,tidaklah sekemas-kemas anak Melayu dan tidaklah sebersih-bersih anak Melayu,namun di sebalik kecomotan mereka,aku sangat kagumi sebahagian daripada mereka yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu,yang sangat menghormati orang tua dan wanita,yang sangat meraikan tetamu,juga budaya yang suka memberi salam. Keadaan ini kadang-kadang dapat di Malaysia dan jarang diaplikasikan hatta pelajar di sini. Biarpun tidak bertudung labuh dan berkopiah,budaya memberi salam bukan sahaja difahami daripada hadis nabi s.a.w tetapi dipraktikkan oleh mereka. Budaya yang paling aku suka,dimana-mana sahaja ada keluarnya sebutir ayat Quran daripada mulut mereka dan senantiasa terpasang ayat Quran di kedai-kedai runcit.Ah,seronoknya budaya sebegini.


Diskusi An-Nadwah bersama para pensyarah universiti.


  Ibrah yang dapat dikutip sepanjang setahun setengah di sini ialah berpeluang menghayati sejarah-sejarah Islam dan tamadun Islam yang pernah terbina di sini. Mu'tah merupakan salah satu tempat bersejarah untuk kita hayati di mana berlakunya peperangan Mu'tah dan syahidnya tiga orang sahabat Nabi s.a.w iaitu Zaid bin Harithah r.a, Jaafar bin Abu Talin dan Abdullah bin Rawahah.


نْ قُتِلَ زَيْدٌ فَجَعْفَرٌ، وَإِنْ قُتِلَ جَعْفَرٌ فَعَبْدُ اللهِ بْنُ رَوَاحَةَ
“Kalau Zaid terbunuh, maka Ja’far (yang menggantikannya). Jika Ja’far terbunuh, maka Abdullah bin Rawahah (yang menggantikan).” (HR. Al-Bukhari dalam Kitab Al-Maghazi)

Di Makam Jaafar Abu Talib


   Melihat kepada hadis ini,aku terbayang kronologi peperangan tersebut. Semoga aku tabah dalam berjihad di jalanNya dan menggapai impianku yang seakan-akan bakal terkubur. Bangkit kembali dalam menghadapi mehnah. Kata mama, Perang Mu'tah amat bermakna bagi penduduk Mu'tah kerana ia melambangkan kebangkitan Islam ketika itu. Terima kasih mama atas teh pudina yang dihidangkan pada pertemuan pertama kita membuatkan aku bersemangat dalam menuntut ilmu. Tiada yang mustahil dalam dunia ini untuk menggapai cita-cita. :)

-along aliah-
9.30 pm
8/12/2013
Bayt Aflah,Mu'tah
Jordan

Comments

Popular Posts