KERANA CINTA

Kerana cinta kenal penciptaNya
Kerana cinta kenal RasulNya



Umar bertanya dengan keras “ Apa yang kamu ucapkan kerana aku mendengar suara kamu ? “ , adiknya menjawab “ Kami bercakap-cakap sahaja.”, Umar menengking sebenarnya kamu berdua telah menukar agama!”, iparnya menjawab “ Apa salahnya kalau kami dapati agama ini benar bukannya agama mu!”. Dengan marah Umar  melompat kearah iparnya dan terus memukul sehingga Said tersungkur ke lantai kerana tidak mampu melawan Umar yang lebih gagah, lalu memijaknya,adiknya menolak Umar bagi menyelamatkan suaminya.

   Tiba-tiba Umar menampar adiknya pula sehingga mukanya berlumuran dengan darah. Dengan berani Fatimah berkata kepada abangnya “ Wahai musuh Allah ! Adakah engkau memukulku kerana aku mengesakan Allah sahaja Tuhanku?” , Umar menjawab “Ya!” Dengan suara yang tegas Fatimah berkata “ Sila lakukan terhadap apa sahaja yang awak mahu! Sebenarnya aku telah mengucap dan percaya bahawa tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah,kami sudah pun masuk Islam tanpa pedulikanmu!”

   Ucapan yang memukul perasaan Umar sehingga dia terduduk kaku,lalu berkata sambil melihat kearah ayat-ayat Al-Quran yang ditulis “ serahkan kepadaku bingkisna yang kamu baca itu!” , Fatimah menjawab, “Tidak sekali-kali” , Umar berkata  “kata-katamu menyentuh hatiku,serahkan bingkisan itu supaya aku menbacanya.” Fatimah menjawab “awak masih kotor! Bersihkan dirimu dahulu!” Setelah Umar mandi membersihkan dirinya maka ayat-ayat Al-Quran yang bertulis itu diserahkan kepadanya, Umar yang mampu membaca,melihat dan membaca Firman Allah :

‘ Tho haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah ; Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah),iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah. Yang Bersemayam di atas ‘Arsy. KepunyaanNyalah semua yang ada di langit ,semua yang ada di bumi,semua yang ada di antara keduanya dan semua yang ada di bawah tanah. Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu,maka sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi. Dialah Allah,tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang baik). [ Taha:1-8]

Umar berkata “ Adakah dengan sebab ini kaum Quraisy melarikan diri?” Umar meneruskan bacaan sehingga sampai kepada ayat Firman Allah :

‘ Apakah telah sampai kepadamu kisah Musa?. Ketika ia melihat api,lalu berkatalah ia kepada keluarganya : “ Tinggallah kamu (di sini), Sesungguhnya aku melihat api,mudah-mudahan aku dapat membawa sedikit daripadanya kepadamu atau aku akan mendapat petunjuk di tempat api itu”. Maka ketika ia datang ke tempat api itu ia dipanggil “ Hai Musa. Sesungguhnya aku inilah Tuhanmu,maka tanggalkanlah kedua sepatumu, sesungguhnya kamu berada di lembah yang suci,Thuwa. Dan aku telah memilihmu menjadi Rasul, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu). Sesungguhnya aku ini adalah Allah,tidak ada Tuhan yang sebenar selain aku,maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku. Sesungguhnya Hari Kiamat itu akan datang Aku rahsiakan (waktunya) supaya tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang dia usahakan. Maka sekali-kali janganlah kamu dipalingkan darinya oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan oleh orang yang mengikuti hawa nafsunya,yang menyebabkan kamu menjadi binasa.” [Taha:9-16]

Sampai di sini Umar berkata, “ Sewajarnyalah yang menyebut kata-kata ini tidak disembah daripadanya,tunjuk padaku di mana Muhammad.”



Subhanallah,jika kita menghayati betul-betul kisah ini, tidak lain tidak bukan Allah telah memberi hidayah kepada Umar yang keras hati dengan ayat-ayat cintaNya kepada umat manusia melalui Nabi Muhammad s.a.w. Persoalan bermain di minda sejauh mana kita mencinta,menghayati dan membaca Al-Quran. Kalam-kalam Allah yang diturunkan kepada kita manusia sejagat. Umar manusia yang menerima cahaya Islam menjadi seorang yang berani memperjuangkan agama Allah kerana dengan Al-Quran beliau mengenal Tuhannya dan Rasulnya. Beliau sangat mencintai Al-Quran , bukan sahaja menghafaz ayat-ayatnya sejak mula menganut Islam sehingga kewafatan Rasulullah s.a.w, dia juga sangat memahami sebab-sebab turunnya ayat-ayat,bahkan di antara sebab itu berpunca daripadanya dan penglibatannya bersama Rasulullah s.a.w di medan dakwah dan jihad.

Kita,wahai sahabat? Berapa kali sehari kita membuka helaian Al-Quran untuk membacanya dan tadabur,berapa kali kita khatam Al-Quran dalam sebulan bahkan berapa kali kita cuba untuk menghafaz ayat-ayat Al-Quran.

Apa itu Al-Quran sahabat? Adakah kita sendiri memahami takrif Al-Quran itu sendiri? Tepuk dada tanya IMAN.

Dengan memahami takrif serta maksud-maksud ayat-ayat Allah,insyaAllah kita akan lebih memahami Al-Quran itu sendiri dengan membacanya,memahaminya,mempelajari ilmu-ilmu di dalam Al-Quran. Subhanallah cantik bukan aturan Allah,dengan mempelajari ilmu Al-Quran,kita akan mengenal Allah,rasul-rasul serta nabi terdahulu,para pemuda yang disebut kisahnya di dalam Al-Quran,ilmu tafsir,ilmu sains,akhlak serta tasawuf dan ilmu fiqh.

Setiap perkara yang kita pelajari ke arah kebaikan pasti ada manfaatnya termasuklah mempelajari kalam-kalam Allah. Tatkala kita bersedih , bukalah lembaran Al-Quran dan membacanya serta tadabur,pasti akan ada ayat-ayat yang menegur atau memberi semangat kepada kita. Hati juga pasti akan tenang bila membaca al-Quran. Apabila kita mendengar ayat al-Quran hati sudah menjadi tenang apatah lagi kita membaca dan memahaminya. Bilamana berasa sedih bacalah Quran. Ingatlah kesedihan itu sebahagian besarnya adalah bisikan syaitan dan menjurus kearah putus harapan. Bukan itu sahaja,kita juga akan mendapat pahala dan rahmatNya apabila membaca Quran.

‘ Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (al-Quran) dan melaksanakan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan,mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak kan rugi,’ [Fatir: 29]
Nah,kedua,kita juga akan lebih menghargai perjuangan Nabi s.a.w dan para nabi terdahulu dalam melebarkan Islam dan menyampaikan dakwah. MasyaAllah,sudah pasti kita akan berasa kagum dengan perjuangan mereka seperti kisah Nabi Ibrahim as,kisah nabi Yusuf as dan kisah nabi Musa as. Kisah-kisah mereka tentu akan memberikan semangat kepada kita dalam berjihad di jalan Allah. Kita tentu terfikir mereka lebih banyak menerima mehnah berbanding kita,mengepa kita harus berasa lemah sedangkan mereka lebih banyak menerima ujian dan tribulasi. Semoga kita semua terus thabat berjuang di jalan Allah apabila kita mulai mencintai kalam-kalamNya.

Sahabat sekalian,kita juga akan bersungguh-sungguh menuntut ilmu apabila kita mulai mencintai dan membaca Quran. Sebab apa, di dalam al-Quran sendiri terkandung kisah-kisah pemuda yang patut kita mengambil ibrah dan contoh serta aplikasikannya di dalam kehidupan seharian. Misalnya , kisah pemuda kahfi,kisah Balqis,pemimpin yang bijaksana serta Suraya anak Nabi Shuib yang rajin dan Zulaikha wanita yang ingin menggoda Yusuf as akhirnya memberi cintanya kepada Allah swt. Selain itu, dengan membaca al-Quran akan menimbulkan sifat di dalam diri untuk rajin membaca. Membaca adalah satu ketenangan bagi orang yang keseorangan , satu stimulasi kepada pemikir dan lampu kepada pelancong. Bagi yang malas membaca,mulakan dengan membaca Quran setiap hari. Mula dengan menumpukan perhatian selama 2 minit. Kemudian kali keduanya 3 minit sehingga anda boleh memokus selama 30 minit membaca tanpa henti. InsyaAllah anda akan mulai suka membaca.

‘Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) serta hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkannya kepadamu amat besar.’[An Nisaa:113]

Sebab itulah Allah menurunkan Al-Quran bagi membasmi kejahilan manusia dan umatNya. Ilmu adalah cahaya kehidupan, pintu kepada kematangan dan kebijaksanaan.
Ayuh kita mencintai Al-Quran dengan sepenuh hati. Membaca,tadabbur, dan menghafaz ayat-ayat Allah. Al-Quran ibarat air yang dicurahkan ke dalam pasu bunga bagi menyirami bunga agar tidak sentiasa layu.

Begitulah Al-Quran yang menyirami hati-hati kita agar tidak mudah layu. Hati kita sebenarnya lebih cepat layu berbanding pokok bunga. Al-Quran. Jangan tinggalkannya lebih dari tiga hari. Ayuh sahabat.



Al faqirah wa khadim al ilmi
Along Aliah
1.26 pm | 21 Januari 2014
Bayt Aflah,Mu’tah
Jordan

   

Comments

Popular Posts