MENYELUSURI QUDWAH MUSLIMAH > AISYAH R.A UMMU MUKMININ
BIODATA
Nama: Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq r.a
Gelaran: Al-Humaira (putih kemerah-merahan)
Tempat lahir: Mekkah al-Mukarramah
Tarikh lahir: 8 tahun sebelum hijrah:614M
Nama bapa:Abu Bakar Abu Quhafah
Nama Ibu:Ruman binti Umairah b Amir
Nama suami: Muhammad b Abdullah (Rasulullah SAW)
Tarikh wafat: 17 Ramadhan tahun 58 hijrah
Tarikh perkahwinan: Bulan Syawal, tahun 10 kenabian
Umur Wafat: 67 tahun
Tempat wafat dan di Maqamkan: al-Baqi’, Madinah al-Munawwarah
KHABAR AL IFQI(BERITA PALSU)
menceritakan bahawa ketika dalam perjalanan pulang, Aisyah sedang membuang hajat d tempat yang agak jauh dari perkhemahannya. Haujad (tandu kecil di atas punggung unta) telah disiapkan dan beberapa orang anggota pasukan telah pun siap berdiri di samping unta Aisyah r.a.ha sambil menunggu panggilan tanpa seorang pun daripada mereka yang menyangka Aisyah tiada di dalam tandu itu. Lantas, apabila mendengar sahaja panggilan untuk bergerak, mereka terus berangkat tanpa memeriksa. Tidak mustahil juga mereka tidak menyedarinya kerana Aisyah merupakan seorang yang kecil dan ringan.
Maka ketika keluar daripada tujuannya tadi dan ingin pulang ke perkhemahan, Saidatina Aisyah r.a.ha meraba-raba lehernya dan menyedari bahawa kalungnya sudah tiada di lehernya. Beliau berfikir dan yakin bahawa kalung itu terjatuh di tempat beliau berhajat tadi. Lantas beliau berpatah semula ke tempat itu untuk mencari kalung kesayangannya itu. Ketika beliau sedang mencari-cari, beliau akhirnya menjumpai kalung itu tanpa menyedari pasukan muslimin telah meninggalkannya.(Al-Husaini, 2007: 158).
Setelah menemui kalung itu, beliau kembali semula kepada tentera muslimin, namun beliau mendapati mereka telah meninggalkannya dan beliau cuba mngejar dan mencari-cari mereka hingga keletihan, namun beliau tetap tidak menjumpai mereka. Lalu Aisyah r.a.ha pun kembali semula ke tempat asalnya tadi, dan duduk di sana menunggu dengan harapan tentera muslimin menyedari ketiadaannya, dan mencarinya di situ. Beliau menunggu sehinggalah beliau tertidur. Maka ketika inilah, Shafwan bin Mu’aththal al-Sulami al-Dhakwani memacu untanya mendekati beliau kerana melihatkan seolah-olah terdapat satu susuk tubuh seperti bayangan hitam. Ketika Shafwan makin menghampiri, beliau lantas mengenali Saidatina Aisyah r.a.ha kerana pada ketika itu perintah hijab belum disyariatkan lagi.
Oleh kerana terkejut melihatkan Ummu al-Mukminin Aisyah r.a.ha yang berada di situ, spontan beliau mengucapkan “Innalillahi wa inna ilaihi raji;un.” Kerana beliau seolah-olah menjerit, Aisyah tersedar dari tidurnya dan menyedari Shafwan di situ, beliau lantas menggunakan hijabnya untuk menutupi muka. Maka, Shafwan turun dari untanya dan menundukkan untanya lalu Saidatina Aisyah r.a.ha menaiki unta itu dengan segera setelah Shafwan memberi isyarat. Lalu mereka pun berangkat dan Shafwan di depan menuntun unta tersebut. Di sepanjang perjalanan tiada perbualan atau suara di antara mereka melainkan suara jeritan kerana terkejut oleh Shafwan tadi sehinggalah mereka sampai ke tempat tentera muslimin berehat pada satu pagi yang terik. (al-Nadawi, 2007: 122). Itulah kisah sebenarnya yang berlaku antara mereka tanpa tambahan dan pembohongan.
Pembohongan Munafiqun.
Peperangan Bani Mustaliq ini disertai oleh ramai daripada kalangan munafiqun kerana mereka meyakini bahawa Islam akan memenangi peperangan ini dan akan mempunyai rampasan perang yang lumayan. Namun begitu, jiwa orang-orang munafiq ini tidak pernah merasa tenang ketika mereka melihat kemenangan Islam dari hari ke hari. Mereka merasa kedudukan mereka makin terancam, dan tidak disenangi oleh masyarakat. Oleh sebab itulah, mereka ingin menimpakan satu tamparan hebat kepada Nabi Muhammad SAW. (Ahmad Khalil Jam’ah, 2002: 239).
Ketika dalam perjalanan pulang daripada peperangan, golongan munafiqun berusaha melaga-lagakan dua golongan yang telah bersatu iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Mereka mencuba pengaruhi kaum Ansar untuk tidak lagi bersekutu dengan kaum Muhajirin, serta meninggalkan Islam dan kaum Muslimin. Mereka mendesak kaum Ansar untuk berhenti memberikan pertolongan kepada Muhajirin kerana sebahagian mereka berkata, berdasarkan yang diceritakan dalam firman Allah SWT :
Maksudnya: “Sungguh, jika kita kembali ke Madinah (kembali daripada Peperangan Bani Mustaliq), orang yang kuat pasti mengusir orang yang lemah di sana.”
(Al-Quran: al-Munafiqun 63: 8)
Abdullah bin Ubay yang merupakan golongon munafiqun di Madinah merasa tidak puas hati dan apabila melihat Aisyah r.a.ha pulang bersendirian tanpa Rasulullah SAW di sisi, malah bersama seorang pemuda asing, dia merasakan telah menemui tanah yang subur dan peluang yang terbentang luas untuk menyebarkan malapetaka dan menimpakan tamparan kepada Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin. Ini kerana dia tidak rela Islam bertambah kukuh dan bersatu di Madinah. maka, Abdullah bin Ubay lantas mengarang cerita dan menyebarkan tuduhan terhadap Aisyah r.a.ha. Yang membuat dia semakin bertambah kuat ialah apabila usahanya itu telah mendapat sokongan dan dukungan daripada kaum munafiqun sesama mereka.
Ketika berita tuduhan dan fitnah itu sampai ke telinga umat Islam yang berpandangan bersih dan para sahabat yang terkemuka, mereka telah mengetahui bahawa perkara itu hanyalah rekaan dan fitnah semata-mata. Namun, tuduhan Abdullah bin Ubay telah dibenarkan oleh tiga orang lain iaitu Hassan bin Thabit, Hamnah binti Jahsy dan Mishtah bin Uthathah, padahal Hassan dan Hamnah tidak menyaksikan langsung peristiwa tersebut kerana keduanya tidak menurut serta di dalam peperangan Bani Mustaliq. Hassan bermotifkan permusuhan peribadinya dengan Shafwan dan iri hati melihatkan kaum Muhajirin mendapat posisi yang lebih terhormat berbanding dengan kaumnya sendiri di Madinah. (al-Nadawi, 2007: 120).
Manakala Hamnah binti Jahsy pula ialah seorang saudara perempuan kandung kepada Zainab binti Jahsy, isteri Rasulullah SAW. Beliau sangat mengetahui bahawa Rasulullah SAW lebih menyayangi Aisyah r.a.ha dan beroleh tempat istimewa di hati baginda berbanding saudaranya. Maka, untuk menjatuhkan martabat Aisyah di hati Rasulullah SAW dan mengalihkan cinta baginda kepada Zainab r.a.ha, Hamnah menyokong desa-desus yang tersebar mengenai keperibadian Aisyah r.a.ha. (Al-Husaini, 2007: 162).
Mishtah pula sokongannya terhadap fitnah dan pembohongan ini tidak dapat dipastikan kerana beliau tidak mempunyai motif yang jelas untuk membenarkan tuduhan ini. Disebabkan itu, semua orang bertanyakan hal ini dan menjadi hairan terutamanya kerana Mishtah itu pernah diasuh oleh Abu Bakar r.a iaitu ayah kepada Aisyah r.a.ha yang merasa kasihan melihatkan keadaan kehidupannya yang memerlukan perhatian. Apatah lagi, beliau masih lagi berhubungan rapat dengan Abu Bakar. Segalanya menjadi tanda tanya. (al-Nadawi, 2007: 124)
Aisyah dan ujian yang besar.
Berita bohong dan fitnah ini merupakan satu peristiwa yang sangat pahit bagi Ummu al-Mukminin Aisyah r.a.ha, yang mana ia menimpa rumah tangga dan keluarga Nabi SAW yang suci serta keluarga sahabat terdekat baginda SAW iaitu Abu Bakar al-Shiddiq r.a. Hari-hari ini merupakan hari yang susah dan sulit bagi mereka dan berlakunya fitnah ini selama sebulan. Sesungguhnya Aisyah r.a.ha tidak tahu-menahu walaupun sedikit mengenai fitnah yang telah tersebar mengenai kesucian maruahnya. Beliau hanya merasai perubahan sikap dan suasana disekelilingnya dan juga perubahan yang ada pada Rasulullah SAW setelah kepulangannya daripada peperangan Bani Mustaliq. (Ahmad Khalil Jam’ah, 2002: 241).
Saidatina Aisyah r.a.ha ketika masih tidak menyedari fitnah yang sedang berlaku, beliau keluar bersama-sama Ummu Misthah menuju ke tempat menunaikan hajat di malam hari. Pada ketika itu, Ummu Misthah tergelincir di sebabkan pakaiannya sendiri dan beliau melatah mencelakakan Misthah. Mendengarkan perkataan itu, Saidatina Aisyah r.a.ha menegur dengan tegas kerana Misthah merupakan ahli Badar. Lantas, Ummu Misthah menyedari bahawa Aisyah masih tidak mengetahui mengenai berita tersebut, lalu menerangkan dan menceritakan segala perkara yang berlaku dan tuduhan kaum munafiq padanya. (al-Nadawi, 2007: 124-125).
Lalu setelah mendengar cerita itu, Saidatina Aisyah r.a.ha segera pulang dan menemui ibunya dan meminta penjelasan. Seorang wanita Ansar pun datang menemui mereka dan menceritakan segala-galanya dengan terperinci hinggakan kejutan yang diterima ini menyebabkan Saidatina Aisyah r.a.ha jatuh pengsan. Ketika beliau sedar dari pengsan, Rasulullah SAW datang menjenguknya, namun beliau meihat perubahan pada baginda kerana bagida hanya memberi salam dan bertanyakan keadaan Aisyah lalu lantas keluar. Disebabkan melihat kepada peubahan ini, beliau meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk menetap sementara waktu di rumah orang tuanya dan Rasulullah membenarkan. (al-Nadawi, 2007: 125).
Keadaan Rasulullah SAW pula makin lama makin merasai bebanan yang tidak tertanggung. Lantas baginda SAW mengambil keputusan untuk meminta pendapat sahabatnya dan dipanggil Saidina Ali bin Abi Thalib dan Usamah bin Zaid r.a.huma. Maka, atas Rasulullah SAW, Usamah bin Zaid menegaskan bahawa beliau tidak dapat membenarkan tuduhan tersebut terhadap Saidatina Aisyah r.a.ha kerana desas-desus itu dianggap sebagai satu perkara yang bohong dan tidak berdasarkan bukti. Tambahan pula, kesemua sahabat dan Rasulullah sendiri mengenali Aisyah sebagai seorang wanita yang shalihah, taat dan bertaqwa. Demikianlah yang dikatakan oleh Usamah bin Zaid.
Berbeza pula keadaannya dengan Saidina Ali k.w.j. dek kerana simpatinya dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW, beliau menjawab: “Ya Rasulullah, masih banyak lagi wanita lain.” Lalu beliau menyarankan kepada Nabi agar bertanyakan perihal Aisyah kepada pembantu Aisyah r.a.ha; Barirah kalau-kalau ia mengetahui duduk perkara sebenar. Lalu dibawanya Barirah menemui Baginda SAW. (al-Nadawi, 2007: 127). Maka baginda SAW pun bertanyakan perihal Aisyah r.a.ha kepada Barirah dan Barirah menjawab: “ Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah, Aisyah sungguh lebih baik daripada emas yang baik.”
Setelah mendengar penjelasan Barirah, Rasulullah bertanya pula kepada isteri baginda iaitu Zainab binti Jahsy r.a.ha mengenai peribadi Aisyah. Sebagaimana yang telah diketahui, Zainab sering bersaing dengan Aisyah r.a.ha memenangi hati Baginda SAW. Dan sebagaimana telah diceritakan, saudari kandungnya sendirilah yang telah menyokong dan membenarkan fitnah ini. Namun begitu, ketika Rasulullah SAW bertanyakan mengenai Aisyah berhubung peristiwa fitnah ini, Zainab menjawab dengan baik, “Wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Dan tiada yang ku ketahui daripada
diri Aisyah melainkan kebaikan semata.” (al-Nadawi, 2007: 128).
Turunnya wahyu yang suci.
Setelah pelbagai pandangan didengari, Baginda Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk bertemu dengan Aisyah r.a.ha sendiri di rumah mertuanya dan bertanyakan kepadanya secara langsung kerana kaedah ini dilihat sebagai satu kaedah yang terbaik. Maka di rumah Abu Bakar r.a. Rasulullah SAW telah berkata kepada Aisyah r.a.ha.: “Aisyah, engkau telah mendengar sendiri apa yang telah dibicarakan orang tentang dirimu. Hendaklah engkau tetap bertaqwa dan takut kepada Allah. Jika engkau benar melakukan sebagaimana yang dikatakan oleh mereka, cepat-cepatlah bersegera bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah menerima taubat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.” (al-Husaini, 2007: 164).
Setelah mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, membuatkan Aisyah menjadi geram dan mendidih kerana ianya berbaur tuduhan. Wajahnya yang putih nampak merah padam menahan kemarahan. Dengan pandangan mata yang tajam, Aisyah memandang kepada kedua orang tuanya, melihat akan apa yang bakal mereka katakan kepada Rasulullah. Akan tetapi keduanya berdiam diri tanpa sepatah kata. Aisyah mengerti mengapa keduanya berdiam diri kerana hanya dirinya sahaja yang mampu menjawab kata-kata Rasulullah SAW tadi.
Sambil menangis kerana tiada yang membela, Aisyah menjawab kepada Rasulullah SAW: “ Demi Allah, aku tidak akan bertaubat mengenai perkara itu kepada Allah Ta’ala kerana aku tahu bahawa aku tidak melakukannya. Aku tahu, jika aku bertaubat, ianya bererti aku membenarkan semua yang diperkatakan orang mengenai diriku. Allah Maha Mengetahui bahawa aku tidak melakukan perbuatan yang dituduhkan itu. Aku tidak sudi mengakui satu perbuatan yang tidak aku lakukan, namun jika aku membantahnya, tiada yang mahu percaya.” Sambil mengelap air matanya, Aisyah melanjutkan bicaranya: “Aku hanya mampu mengatakan seperti yang pernah dikatakan oleh ayah Nabi Yusuf, “bersabar lebih baik, dan kepada Allah sahajalah aku memohon pertolongan atas apa yang kalian ceritakan.” (al-Quran: Yusuf 12: 18). (al-Husaini, 2007: 165).
Mendengarkan kata-kata Aisyah itu, semua yang hadir mendiamkan diri dan terpaku. Maka, ketika Rasulullah SAW menapak hendak beranjak pulang, perubahan kelihatan pada wajah baginda dan keadaan baginda pada ketika itu nampak begitu berat dan berkeringat membasahi wajahnya kerana beratnya wahyu yang diterima. Padahal waktu itu adalah pada musim sejuk. Aisyah lantas berkata: “Ketika mulai nampak tanda kegembiraan pada diri Rasulullah SAW, baginda benar-benar gembira dan tersenyum. Yang pertama sekali beliau ucapan ialah: “Wahai Aisyah, bergembiralah kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah membebaskan dirimu.” (Ahmad Khalil Jam’ah, 2002:244). Maka Aisyah menyambut ucapan baginda itu dengan kalimah syukur: “Alhamdulillah.” (al-Husaini, 2007: 166)
Sesungguhnya, Allah Ta’ala telah membersihkan nama Saidatina Aisyah r.a.ha daripada fitnah itu dengan diturunkan wahyu daripada surah al-Nur ayat 11-19 (boleh rujuk di al-Quran) bagi menjelaskan duduk perkara yang sebenar. Ayat ini lalu disusuli dengan ayat hukum kepada mereka-mereka yang menuduh dan menebarkan fitnah mengenai wanita-wanita muslimah yang suci. (rujuk surah al-Nur ayat 23-24).
Maka, sebagai pelaksanaan hukum yang telah ditetapkan Allah SWT ini, mereka golongan yang menyebarkan fitnah dan pembohongan mengenai peribadi Aisyah r.a.ha iaitu Hamnah binti Jahsy, Misthah binti Athathah, Hassan bin Thabit dan lain-lain dijatuhi hukuman sebat sebanyak 80 kali sebatan. Namun, setelah menerima hukuman itu tadi, mereka kembali mendapat kasih-sayang daripada Nabi Muhammad SAW terutamanya Hassan bin Thabit. Baginda juga meminta kepada Abu Bakar agar tidak mengurangkan kecintaan dan kasihnya kepada Misthah, dan Aisyah diminta supaya tetap menyayangi Hamnah binti Jahsy. (al-Husaini, 2007: 168).
Selesai sudahlah permasalahn dan peristiwa terbesar dan gentir dalam kehidupan Baginda SAW dan Aisyah r.a.ha tanpa meninggalkan kesan yang buruk pada kalangan masyarakat muslimin di Madinah. Aisyah r.a.ha cepat pulih kembali kesihatannya dan beliau pulang kepada Baginda di rumahnya, bahkan Rasulullah SAW bertambah sayang dan kasih kepadanya.
ps..apa pengajaran yg kita dapat HELWANIS 3C dan MUSLIMAH sekalian...???
SIFAT MULIA
Bersungguh-sungguh menuntut ilmu:
Sejak kecil/zaman kanak-kanak menunjukkan minat yg dalam terhadap ilmu
Dermawan:
Sanggup menjual barang keperluannya semata-maat membantu orang lain.
Taat dan tegas:
Taat dan patuh kepada ibu bapa dan suami.Tegas dan berani menegakkan kebenaran.
Sabar Cekal dan Tabah:
Tidak penah mengeluh walau menempuh pelbagai cabaran. Cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan seperti fitnah dalam peristiwa “HadithulIfqun”
SUMBANGAN
TAFSIR AL-QURAN:
-Memperkaya bidang tafsir al-quran
-Sering dijadikan tempat rujukan bagi para sahabat
KEWANITAAN:
-Memberi petua tentang agama terutama yang berkaitan dengan kewanitaan
-Seorang pejuang Islam yang bersama Rasulullah dlm beberapa peperangan menentang musuh
HADIS :
-Banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah . Sebanyak tidak kurang 2210 hadis telah diriwayatkannya
nota::::wacana menyelusuri Qudwah Saidatina Aisyah r.a oleh panelis HELWANIS 3C pada 27.1.2013 di PUSKMA.
Comments
Post a Comment