TASBIH KEHIDUPAN
Rasulullah saw bersabda, “ Dua kalimat yang mudah
diucapkan,berat di timbangan dan dicintai oleh ar-Rahman adalah Subhanallah wa
bihamdihi,subhanallahilazim.”
Jari-jemari terus bermain membilang biji-biji tasbih.
Tasbih berwarna hijau kristal terus disentil oleh tangan kasarmu. Malam yang
hening lalu membangkitkan dirimu daripada selimut tebal yang menjerat diri.
Engkau berpuisi di tahajud malam dengan menyebut subhanallah,allahuakbar dan
alhamdulillah sehingga menghangatkan jiwa kerdilmu. Engkau menutur bait-bait
puisi itu dengan penuh syahdu memohon keampunan daripada Allah. Betapa
kerdilnya dirimu mengadap kekasih hati Rasulullah saw juga kekasih umat islam
amnya. Subhanallah wa bihamdihi subhanallahilazim. Kau tutur bait-bait ini untuk
kesegaran jasmani bersulamkan cantiknya rohani. Fajar makin menyinsing,kau
bangun dari sejadah suteramu bagi meneruskan perjalanan kehidupan seharian
namun bibirmu tetap mengalunkan zikrullah memuji Allah.
Kehidupan kita seperti tasbih,ada pemula dan ada
pengakhirannya. Tasbih bukan sebutir di dalam rantainya,begitulah kehidupan
yang mempunyai seribu satu rasa. Mengingati Allah akan membuahkan hasil yang
baik pada kehidupan. Hiduplah di dalam rangkaian tasbih,di dalamnya ada
ketenangan,di antaranya terkandung
kenyamanan,di himpitannya terpaut kenikmatan,dan di lingkarannya
keabadian.
Era media sosial ini,adakah tasbih bakal berhenti
berputar? Manusia sudah tidak mengingati Allah dengan zikrullah kerana mereka
leka dan lalai dengan permainan semasa. Permainan semasa yang bakal meragut
hati-hati insan daripada mengingati Allah. Tasbih juga boleh putus jika tidak
dijaga dengan molek,begitulah kehidupan yang dilingkari kemewahan,yang dihimpit
dengan pelbagai propaganda,yang terkandung kemusnahan dan di antaranya tipu
cilik musuh. Itulah dunia hari ini.
Manusia berpotensi mengalami kelalaian jika kita tidak
megurusnya dengan baik. Tambahan pula,kita mengalami pelbagai aktiviti dalam
masa satu hari sama ada yang jelas tidak mengingati Allah ataupun aktiviti yang
sedikit mengingati Allah. Manusia sering tertipu dengan kehidupan ini. Mereka
mudah jatuh apabila diuji dengan ujian yang sedikit cuma. Apakah
penyelesaiannya?
ZIKRULLAH
Zikrullah boleh menaikkan daya hidup dan menaikkan
semangat jiwa yang rapuh. Rasulullah saw bersabda, “ Perumpamaan orang yang
berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang
yang hidup dan orang yang mati.”[Hadis Riwayat Bukhari]
“Ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu
beruntung,”[Surah al-Jumuah:10]
Dengan berzikir kita pasti dapat manfaatnya. Tidak
terhitung manfaat berzikir. Antaranya menjauhkan diri daripada syaitan dan
menghancurkan kekuatannya. Kedua,menjauhkan rasa kegelisahan dan kesedihan
hati. Ketiga,menguatkan tubuh dan hati dan seterusnya menarik rezeki. Banyak
lagi manfaat berzikir untuk diungkapkan. Namun sudah tentu ramai yang boleh
memahaminya. “Ingatlah Aku supaya Aku akan mengingatinya.”
SINGGAH DI TAMAN SYURGA
Hati yang bersih adalah kunci utama terbukanya pintu
syurga buat kita. Majlis zikir di antara taman-taman syurga di dunia. Majlis
zikir di sini bermaksud bukan sahaja hanya ingat kepada Allah secara lisan
tetapi majlis yang mengingatkan kita perkara halal dan haram dan juga merupakan
majlis ilmu yang bermanfaat.
“Apabila kamu melalui taman-taman syurga,singgahlah
dan nikmatilah sajiannya.” Para sahabat bertanya, “Rasulullah saw,apakah taman
syurga itu?” Rasulullah saw menjawab, “Majlis-majlis zikir. Allah memiliki
para-para malaikat yang selalu berkeliling mencari majlis-majlis zikir ini.
Apabila mereka datang ke tempat itu,mereka akan duduk bersama orang yang
berzikir.”[Hadis Riwayat Muslim]
KESIMPULAN
Konklusinya, bertasbihlah dan berzikirlah mengingati
Allah. Ianya bukan sahaja mendekatkan diri kepada Allah dan membersihkan hati
kita bahkan ia akan memberi manfaat kepada kehidupan kita di dunia yang penuh
pancaroba ini. Semoga zikrullah sentiasa berputar di dalam kehidupan kerana
kehidupan kita ibarat tasbih yang bakal putus pada bila-bila masa. Lingkarilah
tasbih kehidupanmu dengan zikrullah dan memuji keesaanNya.
Wallahualam
-Along Aliah-
3.58pm | 2/3/2014
Bayt Aflah,Mu'tah
Jordan
Bila manusia lalai leka dengan dunianya...Allah datangkan berbagai masaalah supaya manusia kembali berzikir...
ReplyDeleteAllah sentiasa menguji hamba2Nya utk jdi ebih beriman kpdNya
ReplyDelete