TEATER JEBAT:KESETIAAN ATAU KEBENARAN?
OUR TEAM :) |
Kata Tuah: Takkan Melayu hilang di dunia
Pertama sekali memang bersyukur sangat-sangat kerana ini adalah pengalaman pertama mengendalikan sebuah pementasan teater klasik dengan tajuk yang agak berat. Insan kerdil ini tidaklah sebijak dan segeliga mana dalam menguruskan sebuah teater kerana ini adalah pengalaman baru dalam hidup penulis.
Kali pertama,kami berkumpul membincangkan kerelevanan teater yang bertajuk Jebat. Sebab apa,mentaliti rakyat Malaysia mengatakan Hang Tuah adalah pahlawan Melayu terulung di nusantara bukannya si pengkhianat Jebat. Antara tema utama yang ingin kami ketengahkan ialah benarkah Jebat si penderhaka kepada Sultan yang melakukan hukuman bunuh kepada Tuah? Kedua,antara kesetiaan dan kebenaran yang manakah patut dituntut?
Dalam teater yang kami pentaskan pada kali ini membawa jalan cerita yang sama bermula dengan watak Tuah sebagai laksamana handalan di Melaka,kemuudian dijatuhkan hukuman dan Jebat menderhaka kepada Sultan cuma di babak akhir kamu susupkan satu babak di mana Jebat tidak di bunuh. Tuah tidak membunuh Jebat kerana dia memilih kebenaran daripada kesetiaan.
Kami telah menjalankan beberapa kajian mengenai plot cerita dan watak bagi teater ini. Antara bahan kajian kami adalah berdasarkan dua filem iaitu filem Hang Tuah (P.Ramlee) dan filem Jebat. Pada mulanya,agak pening-pening lalat untuk kami menghasilkan sebuah skrip teater yang ringkas dan padat. Namun atas beberapa kerjasama dan perbincangan,kami berjaya menghasilkan sebuah skrip teater yang bertajuk JEBAT:KESETIAAN ATAU KEBENARAN?
Krew skrip sudah,krew persiapan pula terdiri daripada props,musik,dan kostum. Kami membahagikan kerja dengan setiap pelakon akan mendapat pic masing-masing bagi kostum mereka. Krew persiapan juga telah melakukan pemerhatian bagaimana ingin menghias pentas dengan berlatar belakangkan balairung istana Melaka, majapahit dan kawasan rumah memandangkan kami tidak mempunyai krew yang ramai. Krew musik pula terdiri daripada seorang sahaja yang berani menampilkan diri ingin memegang amanah tersebut. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
Pencarian pelakon: kami hanya ada masa selama sebulan sahaja untuk melakukan latihan dan persiapan dalam menjayakan pementasan ini. jadi,pelakon kami hanyalah sempat kami kutip secara on the spot. Ada yang kami call,tanya nak masuk teater atau tidak. Lihat skrip dulu dan ada juga yang baru pulang daripada meeting terus kami tarik jadi pelakon. Juga ribuan terima kasih kepada yang volunteer menjadi pelakon kepada teater ini.
Alhamdulillah,hanya Allah sahaja yang membalas jasa-jasa kalian dalam menjayakan pementasan teater ini. Terima kasih juga kerana bersabar melayan kerenah saya yang kadang-kadang agak kelam kabut,malas nak ambil tahu dan sebagainya. terima kasih kerna memberi peluang kepada saya mengendalikan teater ini bersama Tuan Pengarah yang sempoi. Jazakillah khairan jazak :)
KOMENTAR DARIPADA SALAH SEORANG AHLI PERMATA :)
SASTERA DALAM PERSPEKTIF DA'WAH
Saya fikir, inilah kali pertama saya menonton secara langsung pementasan teater yang bertemakan adat serta seni dalam budaya Melayu. Ia begitu mengujakan serta mendesak untuk saya lebih berfikir panjang tentang masa depan kesusasteraan Melayu dan kaitannya dengan da'wah.
Sekalung tahniah serta syabas saya ucapkan kepada semua yang telah bertungkus-lumus menjayakan sebuah pementasan yang bukan sahaja baik, tetapi telah berjaya menampilkan satu nilai yang sangat dititiberatkan dalam budaya Melayu bahkan ia adalah antara tema besar dalam Al-Qurān serta maqāsid terpenting As-Sharī'ah Al-Islāmiyyah iaitu keadilan dengan begitu jelas serta berkesan.
Tanpa boleh dinafikan lagi, aspek sastera dalam mendidik masyarakat tentang nilai-nilai yang baik telah diabaikan. Kesannya, boleh dilihat apabila ramainya generasi kita yang seolah menjadi robot atau manusia yang kering mungkin kerana terlalu bergantung kepada buku atau jurnal ilmiah semata-mata. Adapun jika ia diselit dengan aspek emosi dan penggunaan bahasa yang indah, ia akan lebih memberi kesan serta bersifat mendidik sesuai dengan sifat kebiasaan orang Melayu kita yang kaya dengan budi bahasa.
Kalau sedemikianlah berkesannya sastera dalam mengangkat nilai-nilai yang baik dalam masyarakat, dalam waktu yang sama wujudnya mereka yang berbakat sepertimana yang dibuktikan dalam pementasan semalam, saya kira ia tidak cukup hanya dijadikan sebagai aktiviti mengisi waktu lapang atau memenuhi tuntutan program. Ada baiknya saya kira jika ia boleh diusahakan dengan serius oleh kita dalam mendidik masyarakat dengan cara yang lebih unik khususnya mengembalikan semula khazanah kesusateraan Melayu yang penuh dengan pengajaran. Inilah yang dinamakan meraikan al-'urf dalam da'wah; saya fikir.
Dengan kata mudahnya, sastera akan melahirkan kita para dā'ie yang lebih halus interaksinya, berbudaya serta berupaya berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu yang lebih berstruktur serta berkesan. Alangkah malangnya da'wah kita tersekat bukan kerana mereka menolak kebenaran yang dibawa, tetapi ia tersekat dek bahasa yang kering, kasar dan tidak berjiwa.
Moga da'wah kita kembali bernafas segar dengan harapan generasi kita dan akan datang kembali berbudi bahasa serta tajam pandangan kehidupannya sebagaimana nenek moyang kita yang terdahulu.
Sekian,
Peminat Sastera Tapi Masih Kurang Berbakat.
Ustaz Muhammad Hanif Ali
para pelakon yang bersemangat dan cool :) "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak hukum buruk padahnya". -along aliah- 5.21 pm | 2/3/2014 Bayt Aflah,Mu'tah Jordan |
Comments
Post a Comment